Thursday, 19 April 2012

PASAR SERIKIN, BAU

Entri yang berkaitan ~~~> Pasar Serikin


Serikin terletak bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia. 15 km dari bandar Bau (sebut: bauk) dan 80 km dari bandar Kuching, kira-kira 1 jam 30 minit dalam pemanduan biasa.

Tempat parkingnya luas dengan bayaran hanya RM1. Penjaga tempat parking akan datang menghampiri kereta yang masuk dan bayaran dibuat kepada penjaga tersebut, yang kadang-kadang sudah menunggu berdiri di laluan masuk.

Pasar Serikin menyediakan pelbagai barangan pada harga berpatutan. Barangan tradisioanl pelbagai kaum di Sarawak mudah diperolehi di sini, misalnya kain pua kumbu Sarawak, batik sarung, tikar sarawak, barangan kristal dan mutiara, telekung, barangan kulit dan sebagainya.

Pasar Serikin agak serupa dengan Bukit Kayu Hitam, Wang Kelian, Padang Besar, Rantau Panjang atau Langkawi. Istimewanya Pasar Serikin yang mempunyai konsep kedai yang sama tetapi barangan yang ditawarkan di sini adalah unik dan tidak sama berbanding dengan pasar sempadan di Semenanjung Malaysia.

Hampir 70% peniaga di Pasar Serikin adalah warga Indonesia. Selebihnya terdiri daripada penduduk tempatan yang kebanyakannya menjual minuman dan makanan.

Pasar Serikin hanya dibuka dua hari seminggu atau lebih tepat pada hujung minggu sahaja iaitu Sabtu dan Ahad. Para peniaga mulai membuka gerai masing-masing seawal pukul 7.00 pagi hingga 2.00 petang. Untuk mereka yang berhajat berkunjung ke Serikin, terutama buat 'first timers', dinasihatkan agar pergi awal pagi untuk mengelak panas terik matahari dan menghindari bersesak-sesak dengan orang ramai. Sila bawa topi dan payung. Anda digalakkan untuk memakai kacamata hitam dan 'flat shoes' untuk keselesaan meronda sekitar Pasar Serikin.

Keselamatan anda adalah terjamin semasa 'shopping' di Pasar Serikin kerana terdapat sebuah kem tentera dibina tidak jauh dari pasar itu. Kawalan agensi penguatkuasaan lain seperti Pasukan Gerak Am (PGA) juga sentiasa dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Pasar Serikin terletak berhampiran dengan beberapa destinasi pelancongan popular di daerah Bau seperti Tasik Biru, Gua Angin @ Wind Cave dan Gua Fairy @ Gua Pari-Pari. Pelancong boleh singgah ke tempat-tempat tersebut dalam perjalanan balik untuk melepaskan penat setelah membeli belah dan tawar menawar di Pasar Serikin. 



























No comments:

Post a Comment