Friday, 1 June 2012

GANGGUAN SAKA



 Saka Boleh Sakiti Orang Lain Dan Diri Sendiri

Membicarakan tentang SAKA adalah satu perkara sensitif. Sesuatu yang tidak nampak dan tidak mudah untuk diyakini. Masyarakat melayu memahami saka sebagai ilmu yang diperturunkan atau dipusakai daripada waris teratas kepada waris di bawahnya daripada ibu ataupun bapa kepada anak, daripada datuk atau nenek kepada salah seorang daripada cucu atau cicitnya, ataupun ilmu yang dipusakai daripada seorang bapa saudara kepada anak saudara atau kepada seseorang yang berada dalam lingkungan keluarga.


Yang dimaksudkan dengan ‘ilmu yang dipusakai’ itu ialah ilmu yang ada kaitan dengan jin-jin, sama ada jin berkenaan dibela, dibuat sahabat ataupun dibuat saudara, disedari atau tidak disedari. Dengan perantaraan makhluk tadi, waris berkenaan berupaya melakukan rawatan penyakit, menilik dan sebagainya dalam keadaan menurun atau tidak menurun. Hasil daripada penglibatan makhluk ini juga waris adakalanya melibatkan diri dengan ilmu kebatinan mempertahankan diri seperti ilmu amalan wali suci, budi suci dan lain-lainnya atau ilmu kebatinan yang dinamakan amalan Al-Fatihah, silat syeikh, amalan sinar Islam dan sebagainya.

Amalan kebatinan mempertahankan diri ini juga melibatkan ilmu kebal, ilmu penggerun, ataupun amalan yang lebih bersifat peribadi seperti ilmu seri muka, ilmu kebidanan tradisional atau ilmu andaman tradisional. 

Pemilik saka yang melibatkan ilmu perbomohan ataupun dukun yang diwarisi oleh seseorang akan membolehkan pewaris memiliki kebolehan untuk melakukan rawatan dan sebagainya yang berkaitan dengan ilmu kebatinan seperti yang pernah dilakukan oleh pewaris tadi, berupaya melakukan rawatan dalam keadaan menurun biarpun dia tidak pernah mempelajari ilmu kebatinan yang khusus.

Dari sinilah lahirnya orang yang tidak sedarkan diri atau separuh tidak sedarkan diri, menurun lalu melakukan rawatan, berupaya menilik sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh mata kasar dan sebagainya. Hal demikian berlaku kerana makhluk tadi meresap dalam tubuh orang berkenaan, menguasai otak, jasad, lidah dan pergerakkan lalu menggunakan jasad manusia untuk bertindak.

Keadaan seperti ini dikenali sebagai ‘menurun’ dimana makhluk halus tadi telah menurun atau meresap dalam tubuh manusia lalu bertindak melakukan sesuatu menurut tujuan asal makhluk ini meresap dalam tubuh manusia. Pelbagai natijah luar biasa (nadir) mencarik kebiasaan adat dan tidak dapat difikiri oleh akal punca dan sebab musabab berlaku seperti yang dijelaskan. Iaitu boleh melakukan rawatan, menilik benda-benda ghaib, menjadi kebal, digeruni, mengangkat benda-benda berat dan sebagainya yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa.

Makhluk yang berdampingan itu dalam proses masa tertentu menjadi sebahagian daripada dampingan manusia menyebabkan orang yang seumpama ini berupaya melakukan sesuatu yang tidak upaya dilakukan oleh manusia biasa. Jin atau makhluk halus yang dibela oleh manusia, pada kebiasaannya memerlukan manusia yang biasanya terdiri daripada kaum keluarga atau terus berdampingan dengan manusia setelah tuan yang asal tadi meninggal dunia. Makhluk yang seperti inilah yang dinamakan SAKA yang diperturunkan dari satu generasi kepada generasi berikutnya.

Penurunan saka boleh berlaku dengan sengaja atau tidak sengaja. Dilakukan dengan sengaja apabila seseorang itu secara berterangan menyatakan pada waris tertentu seperti anaknya yang dia adalah orang yang paling sesuai atau berkelayakkan mewarisi ilmu pemiliknya yang dimiliki selama ini. Apabila orang yang berkenaan menyatakan kesanggupannya menerima, maka bermula dari tarikh itu dia telah mewarisi saka tadi.

Penurunan saka juga boleh berlaku secara tidak langsung apabila seseorang waris itu menerima barang-barang tertentu, yang pada kebiasaannya terdiri daripda keris, lembing ataupun tombak atau objek lain seperti tangkal, azimat, batu geliga, akik dan sebagainya.

Penting

Objek-objek tersebut pada zahirnya merupakan benda yang dapat dipegang dan dirasa dengan tenaga atau dilihat oleh pancaindera. Objek tersebut hakikatnya adalah merupakan lambang, dimana disebalik lembing atau batu geliga atau lain-lain objek tadi terdapat jin atau jin-jin berserta dengannya. Penurunan kaedah kedua ini biasanya berlaku setelah pewaris meninggal dunia dimana barang-barang tadi menjadi barang peninggalannya si mati (pewaris).

Objek-objek ini terutamanya keris pada kebiasaannya dilangiri dengan air limau nipis pada malam-malam tertentu seperti malam Jumaat, sebulan sekali atau di malam Jumaat awal Muharram setiap tahun ketika bulan penuh dan dipersapkan dengan kemenyan.

Limau nipis merupakan satu bahan penting yang sering digunakan dalam pelbagai upacara amalan kebatinan termasuk perubatan melayu tradisional untuk memutus ubat, mandi perajan, mandi membuang sial badan dan sebagainya. Kaedah atau upacara melangiri senjata mungkin diketahui melalui pengajaran oleh pewaris ataupun melalui mimpi.

Apabila seseorang itu menerima saka tadi, tidak kira samaada pada asalnya pewaris itu redha atau tidak lalu akhirnya tunduk menerima dan melakukan upacara atau syarat-syrat yang diajar secara langsung atau tidak langsung termasuk ketika mimpi, makhluk tadi akan semakin rapat dengan ‘tuan’ barunya yang boleh ‘diperintahkan’ melakukan sesuatu. Iaitu untuk tujuan rawatan seperti yang dijelaskan. Untuk membinasakan lawan atau orang lain dengan permintaan pelanggan yang datang menemuinya.

Dari sinilah lahirnya pelbagai jenis amalan kebatinan seperti ilmu pengasih, ilmu penunduk, ilmu seri muka, ilmu pemisah iaitu untuk memisahkan antara suami isteri, ilmu pelalau iaitu ilmu menyebabkan seseorang itu tidak kira lelaki atau perempuan tidak mendapat jodoh atau premis perniagaan yang tidak didatangi oleh pelanggan.

Termasuk dalam ilmu kebatinan ini ialah khidmat daripada pemilik saka yang boleh digunakan untuk menyakiti seseorang yang boleh menyebabkan seseorang itu tidak normal atau bertindak seperti orang yang tidak waras, santau dan sebagainya. Semua amalan ini termasuk dalam kategori ilmu sihir iaitu tindak tanduk manusia yang melibatkan jin-jin atau yang dikenali sebagai makhluk-makhluk halus. Perlu dijelaskan bahawa amalan sihir adalah salah satu perbuatan dosa besar yang membinasakan.

Ilmu Yang Diwarisi Melalui Saka Ada Dua Jenis

Jenis Pertama :-

Ada kalanya boleh digunakan untuk sesuatu yang dianggap boleh memberi manfaat seperti untuk tujuan rawatan, ilmu pengasih, digunakan untuk mencari barang hilang dan sebagainya. Atau sebaliknya seperti untuk mencuri wang, barang kemas, pakaian termasuk seluar dalam dan baju dalam. Terlalu banyak hadis membicarakan tentang keupayaan jin-jin yang mencuri bahan makanan iaitu kurma dizaman Nabi s.a.w.

Selain boleh ‘digunakan’ untuk tujuan yang dijelaskan tadi, makhluk ini juga sering menyakiti orang lain, jiran-jiran termasuk kaum keluarga tuan saka tadi malah dalam keadaan tertentu makhluk ini boleh menyesatkan iman si empunya diri yang dianggap sebagai tuan tadi akan menyerang tuannya terutama ketika telah uzur, sakit atau ketika tua.

Orang Melayu yang memahami hal-hal yang berkaitan dengan saka ini sering beranggapan bahawa makhluk ini seumpama tidak terkawal apabila tuannya meninggal dunia dan tidak ada dikalangan keluarga yang sedia untuk mengambil alih peranan yang dimainkan oleh pewaris selama ini. Keadaan akan menjadi redha apabila salah seorang daripada waris sudi menjadi tuan kepada makhluk ini.

Anggapan ini ada kebenarannya tetapi pada hakikatnya biarpun makhluk ini mempunyai tuan baru ia tetap menjadi masaalah kepada manusia terutama kepada keluarga yang terlibat kerana antara tujuan utama iblis dan syaitan itu ialah untuk menyesatkan manusia seberapa banyak yang boleh agar mereka dapat masuk keneraka bersamanya.

Jenis Kedua : -

Saka ataupun penyakit yang diwarisi daripada seorang pewaris kepada seorang atau beberapa orang waris akibat daripada gangguan atau serangan iblis dan syaitan yang berlaku turun temurun. Bermaksud sekiranya seorang pewaris itu sakit, sakit yang sama akan dideritai oleh warisnya.

Pada kebiasaannya sakit yang berpunca daripada saka tidak kira samada saka jenis pertama atau kedua adalah sama. Sebagai contoh sekiranya seseorang itu tidak boleh tidur malam, selalu termenung, berasa sakit kepala seperti dibaji-baji lalu dia menghantuk-hantukan kepala maka keadaan yang sama akan dialami oleh keturunannya atau mereka yang diserang oleh saka tadi yang terdiri daripada kaum keluarganya. 

Tidak mudah untuk memberi penjelasan bahawa seseorang itu sakit akibat saka. Umumnya apabila sesuatu masaalah atau sakit itu dirujuk kepada mereka yang terlibat dengan amalan kebatinan, maka selalunya dikatakan bahawa penyakit tersebut dirujuk sebagai kena buatan orang, kena sihir, gangguan, saka dan sebagainya.

Hakikatnya masaalah penyakit perlu dirujuk kepada pakar kerana punca penyakit itu adalah pelbagai akibat kecederaan seperti luka,patah, keracunan, stress, depress dan sebagainya akibat gangguan ataupun sihir.

Segala punca gangguan ini sukar diakui oleh pengamal perubatan moden tetapi kesemua faktor yang dijelaskan berlaku kepada mangsa.

No comments:

Post a Comment