Thursday, 28 June 2012

PUTERI DUYUNG KEBANGGAAN DR SHEIKH MUSZAPHAR DAN DR HALINA




Puteri kebanggaan Dr Sheikh Muszaphar & Dr Halina kini sudah berusia 10 bulan dan semakin cekap berenang dan menyelam.

Difahamkan Sophea Isabella atau nama manja Bella sudah mampu menyelam ke dasar kolam dalam masa tiga hingga lima saat sambil mengawal pernafasan.

Menurut Dr Sheikh Muszaphar, melalui pengalamannya sendiri di mana dia telah didedahkan dengan sukan renang oleh bapanya sejak berusia empat tahun sehingga menjadi perenang negara menerbitkan keazamannya untuk menyediakan Bella mempelajari teknik berenang dan menyelam seawal yang mungkin. 

“Jadi kami mula mencari buku serta mendapatkan maklumat di Internet mengenai teknik permulaan berenang untuk bayi berusia sebulan. Memandangkan sejak dalam kandungan bayi membesar di dalam air, jadi tidak menjadi masalah kerana sememangnya mereka mampu berinteraksi dengan baik sekiranya diberi pendedahan awal,” katanya.

Bella telah diajar teknik menahan nafas  sejak berusia sebulan. 

“Ketika Bella berusia sebulan kami menjirus kepalanya menggunakan air suam dan ini berterusan sehingga usianya mencecah dua bulan. Pada peringkat permulaan, reaksi Bella seakan takut dan tidak dapat mengawal diri kerana belum biasa dengan situasi itu. Lama-kelamaan Bella semakin serasi dan selesa sehingga berjaya mengawal sendiri nafasnya,” ujarnya.





“Hasilnya Bella berupaya menahan nafas daripada kiraan tiga sehingga 10 saat. Namun Bella masih belum boleh berenang sepenuhnya sebaliknya hanya terapung dan menyelam saja kerana otot badannya masih belum kuat,” jelasnya. 




Dr Sheikh Muszaphar dan Dr Halina bekerjasama dalam melatih Bella dengan penuh kesabaran. Selalunya pasukan suami isteri ini akan membiarkan Bella menyelam sambil  dipegang oleh ayahnya. Ayahnya akan menolaknya ke hadapan dan ibunya yang sudah bersedia akan menyambut si cilik. Bella juga diajar teknik berenang seperti berkayuh dan membuat tendangan di dalam air.




Aktiviti berenang membawa banyak kebaikan kepada tubuh badan kerana membantu menguat dan  mengembangkan paru-paru dan menjadikan pernafasan lebih lancar. Bagi penghidap asma, lama-kelamaan ia akan hilang sendiri.

Pergerakan tangan, kaki dan kepala semasa berenang  akan  menguatkan otot badan. Rutin berenang juga membantu menambah ketinggian badan seseorang serta meningkatkan ketajaman otak.

“Paling penting selain membina stamina, mereka yang tahu berenang dapat menyelamatkan diri sendiri dan orang lain apabila berada dalam situasi kecemasan terutama membabitkan kanak-kanak. Malah ibu bapa tidak perlu takut mengajar anak mereka berenang kerana aktiviti ini selamat dan menyihatkan badan. Sebaiknya, ia didedahkan kepada anak-anak ketika usia bayi lagi,” katanya.

Katanya, pernah berlaku beberapa bulan lalu ketika dia meninggalkan Bella untuk mengambil barang secara tiba-tiba Bella terjatuh di dalam kolam.

“Alhamdulillah Bella pandai menahan nafas dan boleh terapung dengan sendiri sebelum saya pantas mencapainya,” jelasnya yang memperuntukkan tiga atau empat kali seminggu bersama Bella di kolam renang.








Untuk memberinya pendedahan sosial dan komunikasi, Bella telah mula menghadiri kelas muzik sejak berusia enam bulan. 


antara kelas yang dihadiri Bella

“Saya mahu Bella mahir dalam pelbagai bidang seperti muzik dan gimnastik, juga mengikut sunnah Rasulullah yang mahir dalam tiga perkara iaitu berenang, memanah dan menunggang kuda,” ujar Dr Sheikh Muszaphar.

Kata Halina “Sebagai ibu saya tidak sabar melihat Bella membesar di depan mata. Setiap hari melihat keletah manjanya, perbualan dalam bahasa sendiri menyebabkan saya dan suami tidak boleh berjauhan dengannya,”.


seperti bayi-bayi lain, Bella juga ada 'favorite spot' sendiri di rumahnya. Dr Halina terpaksa mengeluarkan semua barang dari bawah TV ini agar si comel ini dapat bergaya dan melihat dirinya dalam cermin-cermin dari pelbagai sudut di sini

Ini diakui Sheikh Muszaphar yang memberitahu lebih merindui Bella dan akan mencari anak kesayangannya itu berbanding isteri apabila pulang ke rumah.


No comments:

Post a Comment