Saturday, 3 December 2011
Apakah yang dimaksudkan dengan “Rumahku Syurgaku”?
“Rumahku Syurgaku” atau Baiti Jannati adalah suatu tuntutan yang hebat kerana Allah membekalkan manusia dengan nafsu yang senantiasa cuba mendorong manusia ke arah kejahatan tanpa dilandaskan dengan hukum Allah. Maka cara terbaik untuk melandaskan nafsu ini ialah melalui perkahwinan. Persoalannya, mengapa kita mendirikan rumah tangga?
Bagi orang beriman, rumah tangga itu didirikan kerana ia syariat Islam. Ia adalah sunnah dan tuntutan di dalam Islam. Sudah pasti perkara yang disyariatkan di dalam Islam mempunyai kepentingan tersendiri kerana Allah tidak mensyariatkan sesuatu dengan sia-sia. Bahkan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang tidak berkahwin walhal mampu berbuat demikian maka dia bukan dari ummatku. Matlamat perkahwinan di dalam Islam adalah kerana manusia diamanahkan oleh Allah untuk menjadi khalifah di bumi ini mengikut hukum Allah.
Mengapa Allah jadikan manusia sebagai khalifah? Ini kerana manusia dibuat dari tanah di bumi untuk mentadbir bumi. Jin tidak menjadi khalifah kerana jin diperbuat dari api begitu juga tidak malaikat kerana malaikat dibuat dari cahaya. Perkahwinan dapat melahirkan anak yang diiktiraf Allah, iaitu diiktiraf oleh syarak. Boleh saja kita melahirkan anak tanpa berkahwin, namun anak itu tidak diiktiraf Allah kerana tidak mengikut syariat.
Oleh yang demikian, bagaimana hendak menjadi khalifah yang baik sekiranya kita menjadi manusia yang tidak baik? Dalam konteks rumahtangga, ia bukan setakat adanya bapa, ibu dan anak malahan di dalam islam wujud hubungan antara bapa, ibu dan anak. Islam telah aturkan bagaimana hubungan bapa terhadap ibu, ibu terhadap bapa, ibu bapa terhadap anak serta anak terhadap ibu bapa.
Syarat baiti jannati telah digariskan bermula dengan bagaimana lelaki mencari calon isteri dan bagaimana perempuan mencari calon isteri mengikut syarak.
Rasulullah s.a.w menyuruh kita membuat “background check” terlebih dahulu. Diriwayatkan bahawa seorang sahabat berjumpa Rasulullah s.a.w dan menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan seorang wanita. Maka ditanya Rasulullah s.a.w sudahkah engkau selidik wanita itu? Jawab sahabat baginda, belum. Maka Rasulullah menyuruh sahabat tersebut selidik dahulu sebelum mengahwininya.
Umar Al-Khattab r.a pernah berkata bagaimana lelaki memilih calon isterinya maka wanita juga boleh memilih calon suaminya.
Apakah ciri-ciri keluarga bahagia dan bahagia yang bagaimanakah yang hendak kita cari?
Banyak keluarga sekarang sudah terbabas jauh dari agama, sangat jauh. Sekarang ini bukan saja kes buang anak melibatkan penzinaan malahan kes dera anak sehingga maut akibat keluarga yang tidak lagi kenal agama. Inilah keadaan yang amat kita takut kerana Allah telah berfirman bahawa Allah akan menghancurkan sehancur-hancurnya negeri yang masyarakatnya seperti ini.
Menurut Imam Ghazali, tiga institusi penting yang perlu dijaga adalah institusi kekeluargaan, institusi pendidikan dan institusi masyarakat. Jadi, mengapakah institusi kekeluargaan penting? Ini kerana segalanya bermula dari rumah. Sehebat mana pun doktor asalnya dari rumah, bukan dari langit. Begitu juga arkitek, guru dan sebagainya. Maka apabila hancurnya institusi kekeluargaan maka hancurlah institusi masyarakat.
Inilah pentingnya mencari calon yang sesuai. Rasulullah s.a.w pernah bersabda dinikahi wanita itu kerana empat perkara iaitu kecantikannya, keturunannya, hartanya dan agamanya. Barangsiapa yang memilih agama maka kamu akan selamat (dari kesengsaraan).
Apakah tanggungjawab dipikul wanita solehah? Tiga tanggungjawab wanita solehah ialah solat 5 waktu, berpuasa di bulan Ramadhan dan mentaati suami. Namun kenapa Rasulullah s.a.w melihat lebih ramai wanita berada di neraka? Ini kerana mentaati suami itu ramai yang tiada. Jika isteri mengikut landasan agama, maka suami akan merasai rumahnya seperti syurga. Seorang wanita solehah akan gembira apabila suaminya melihatnya. Senario sekarang wanita berumah tangga dikait dengan gosip kejiranan, melawan suami dan sebagainya.
Namun begitu, suami juga perlu melakukan tanggungjawabnya. Suami perlu memberi kasih sayang, nafkah secukupnya zahir dan batin serta tanggungjawab lain di syariatkan agama.
Seorang sahabat pernah bertanya Saidatina Aisyah r.a apakah yang Rasulullah s.a.w buat dirumah? Jawab Saidatina Aisyah r.a, nabi buat apa yang aku buat.
Dari sini kita lihat betapa kasihnya Rasulullah s.a.w kepada isteri-isterinya. Aisyah kemas rumah, Rasulullah s.a.w tolong kemas rumah. Aisyah memasak, Rasulullah s.a.w tolong memasak. Aisyah basuh baju, Rasulullah s.a.w tolong basuh baju. Malahan baginda berkongsi minumam dalam satu cawan dengan Aisyah.
Apabila ditanya isteri-isteri Rasulullah s.a.w yang mana paling disayangi baginda, semua angkat tangan. Ini menunjukkan semua isteri Rasulullah s.a.w berasa bahagia dengan baginda.
No comments:
Post a Comment