Saturday, 3 December 2011
Peranan bapa, ibu dan anak di dalam institusi kekeluargaan
Ramai ibu dan bapa menunaikan tanggungjawab sesama sendiri yakni isteri menunaikan tanggungjawab terhadap suami dan suami menunaikan tanggungjawab terhadap isteri. Namun, tanggungjawab terhadap anak-anak tidak ditunaikan.
Allah berfirman yang bermaksud : “Wahai orang yang beriman, jagalah dirimu dan keluarga kamu dari neraka.”
Seorang bapa yang beramal soleh, pergi ke masjid, solat wajib dan sunat tidak tinggal, namun anak dilupakan tidak menepati tuntutan agama. Begitu seorang ibu yang mentaati suami namun si anak dilupakan. Allah berfirman bahawa ibu, bapa dan anak yang soleh akan dikumpulkan di syurga kelak dalam satu keluarga.
Allah telah berfirman bahawa manusia ini makhluk paling lemah. Anak ayam diberi masa beberapa hari terus terpisah dari ibunya tanpa bergantung pada ibunya. Anak kambing juga begitu. Walhal anak pokok pun terpisah dari ibunya. Tetapi anak manusia bergantungan pada ibunya sehingga berbelas tahun malahan ada yang berpuluh tahun. Mengapa Allah jadikan manusia lemah?
Ini kerana Allah sengaja jadikan manusia sebagai mahluk yang lemah kerana tugas menjadi khalifah di bumi mengikut acuan Allah tidak mudah. Maka Allah memberi peluang kepada manusia untuk bergantungan kepada ibu bapanya supaya ibu bapanya mendapat masa yang cukup untuk mendidik anak menjadi khalifah di bumi yang beriman. Kelemahan bergantungan ini patut dimanfaatkan oleh ibu dan bapa supaya dapat mendidik anaknya. Maka di akhirat nanti apabila Allah tanya ibu bapa kenapa tak didik anak ikut Islam, maka ibu bapa tiada alasan lagi kerana masa yang diberikan sangat mencukupi.
Doa anak yang soleh adalah harta yang paling bernilai selain ilmu bermanfaat dan sedekah jariah kepada si mati mengikut hadith Rasulullah s.a.w.
Maka menjadikan anak yang soleh adalah satu pelaburan yang bernilai. Jangan kedekut hantar anak ke sekolah agama, kem ibadah, pengajian dan sebagainya.
Di dalam hadith Qudsi, Rasulullah s.a.w bersabda bahawa darjat ibu dan ayah yang mati semakin hari semakin tinggi, maka ditanya mengapa jadi begitu sedangkan sudah mati. Maka Allah menjawab ia adalah kerana anaknya di dunia mendoakan agar Allah mengampunkan dosa ibu dan ayahnya serta menaikkan darjat mereka.
Malahan menurut Imam Ghazali, minimum seorang anak perlu mendoakan ibu bapanya adalah 5 kali setiap hari, maka sekiranya kurang dari itu, anak itu dianggap derhaka terhadap ibu dan bapanya.
Apabila mendidik anak, perkara pertama yang perlu diberi penekanan ialah solat. Jangan diambil ringan solat. Namun masyarakat sekarang lebih pentingkan puasa berbanding solat.
Antara pesan Lukman Al-Hakim kepada anaknya, “Hai anakku, ingatlah 2 perkara dan lupakan 2 perkara. Lupakan kebaikanmu kepada orang lain/ibadah dan lupakan keburukan orang lain. Ingatlah kepada Allah dan akhirat.” Lukman Al-Hakim menasihati anaknya agar dilupai kebaikan pada orang lain supaya tidak timbul ungkit-mengungkit yang membakar pahala serta tidak timbul riak akibat memperlihatkan ibadah pada orang lain. Ingat Allah agar dituruti Al-Quran dan Sunnah serta ingat akhirat agar beringat kepada dosa/pahala serta pembalasan syurga/neraka.
Namun kita tidak selalu ingat pada Allah. Biasanya manusia hanya ingat Allah di dua keadaan. Pertama sewaktu mengerjakan haji/umrah dan kedua, sewaktu ditimpa musibah. Kita ingat Allah secara bermusim, Astagfirullah.
Allah telah berfirman, ” Apabila kamu selesai solat, keluar dari masjid maka terus ingat kepada Allah di masa kamu berdiri, duduk dan berbaring.” serta “Apabila kamu selesai menunaikan ibadah haji maka kamu ingat kepada Allah seperti kamu ingat kepada ibubapamu atau lebih dari itu.”
Rasulullah s.a.w bersabda,“Satu keajaiban tentang urusan kehidupan orang mukmin, Allah beri nikmat adalah satu kebaikan, Allah beri musibah juga adalah satu kebaikan.”
Bagi ibubapa yang mempunyai anak yang bermasalah, mereka perlu menerima satu hakikat iaitu Allah sengaja memberi mereka anak bermasalah supaya mereka diberi “extra” pahala akibat dari usaha untuk mentarbiah anak mereka. Ini bertepatan dengan dengan kisah sahabat bertanya Rasulullah s.a.w.
Sahabat bertanya Rasulullah s.a.w mengapa orang mukmin selalu diuji Allah dengan kesusahan sedangkan orang yang beriman tidak ditimpa sebarang musibah dan kesusahan. Rasulullah menjawab ada dikalangan orang mukmin yang telah Allah tulis di Luh Mahfuz kedudukannya di syurga namun amalannya tidak mencukupi untuk mengangkat darjatnya ke darjat yang tinggi maka Allah berikan kesusahan kepadanya supaya darjat dapat diangkat ke darjat yang tinggi. Oleh yang demikian, ibu bapa hendaklah berusaha semaksima mungkin untuk menjadikan anaknya berakhlak mulia dan soleh.
Usaha mendakwah anak janganlah hanya diletakkan di bahu pendidik (guru) atau kem-kem ibadah kerana kebanyakan masa anak-anak ini adalah di rumah. Jika hendak diambil kira penat lelah, ketahui bahawa Rasulullah s.a.w lebih hebat usahanya dalam mendakwah kepada orang Arab jahiliyyah.
Para ulama menggariskan tiga cara dakwah yang Rasulullah s.a.w gunakan untuk mengubah manusia menjadi baik:-
Dakwah melalui perbuatan/tingkahlaku
Dakwah melalui nasihat/lisan
Dakwah melalui doa/bermunajat kepada Allah
Apabila kita hendak mendakwah anak, maka lakukan sejak kecil lagi. Bertegas dengan anak apabila menyentuh bab agama. Sebagai contoh, Rasulullah s.a.w bertegas pada cucunya yang termakan buah kurma zakat sedangkan zakat adalah diharamkan kepada Rasulullah s.a.w dan keturunannya. Maka Rasulullah s.a.w mengorek keluar kurma tersebut (mencangkukkan jari) dari mulut cucunya.
Setelah melakukan dakwah, maka hendaklah kita berdoa kepada Allah dan bermunajat kepada Allah. Jika merasai keperitan mendakwah anak, maka bertawasul kepada Allah dan mengadulah pada Allah.
Hari ini kita mendengar banyak aduan dan luahan rasa berkenaan anak yang derhaka kepada ibu bapa namun ada kalanya kita perlu periksa balik, adakah benar begitu? Bagaimana jika ibu bapa yang derhaka pada anak? Tentu pelik bunyinya namun itu adalah hakikat.
Di zaman khalifah Umar, seorang bapa mengadu kepada Umar tentang anaknya yang derhaka. Maka Umar berjumpa anak itu dan berkata, “Ayahmu mengatakan kamu derhaka kepadanya, adakah kamu mahu ke neraka?” Jawab anaknya, “Sebelum kamu berkata lagi, katakan kepadaku hak anak ke atas bapa.” Jawab Umar, “Hak anak ke atas bapa ada tiga iaitu mencari ibu (isteri) yang solehah, memberi nama anak dengan nama yang bagus dan memberi didikan agama.” Jawab anak, “Ayahku tidak menunaikan satu pun di atas. Ibuku tidak solehah, namaku tidak bagus (ada ulama mengatakan nama anak ini Keluang/Kelawar) dan aku tidak diberi didikan agama.” Maka Umar berjumpa si ayah dan mengatakan, “Kamu telah menderhaka kepada anakmu sebelum dia menderhaka kepadamu.”
Sumber : Forum Bicara Islam
No comments:
Post a Comment