Wednesday, 14 December 2011
Malaikat
Hidup Bersama Malaikat Allah
Beruntunglah orang-orang yang beriman kerana perbuatan mereka sentiasa dipuji dan menjadi perhatian para malaikat. Sesungguhnya makhluk Allah yang tak terhitung banyaknya ini sentiasa menjadi sahabat orang beriman.
1. Mereka sentiasa mendoakan kita
2. Memberi ilham berupa lintasan- lintasan di dalam hati manusia
3. Menyaksikan ibadat kita
4. Memuji segala kebaikan yang dilakukan.
Hal ini pernah diceritakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam hadisnya:
“Sesungguhnya syaitan itu ada pengaruh dalam lintasan hati anak Adam dan para malaikat juga ada pengaruhnya. Pengaruh syaitan adalah mengilhamkan manusia supaya berbuat kejahatan dan menolak kebenaran. Adapun lintasan para malaikat adalah mengilhamkannya melakukan kebaikan dan membenarkan yang hak. Maka barangsiapa yang mendapat ilham kebaikan, hendaklah dia mengetahui bahawa itu adalah daripada Allah. Dan siapa yang mendapat sebaliknya hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan.” Hadis riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibnu Hibban.
Rasulullah SAW pernah menyatakan jumlah malaikat yang memenuhi ruang dengan sabdanya:
”Langit telah bersuara dan sememangnya ia berhak mengeluarkan suara, kerana tidak ada suatu tempat sekadar empat jari melainkan ada di atasnya malaikat yang sujud.” Hadis riwayat al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Bazzar.
Perbuatan yang kita lakukan semuanya mesti menjadi perhatian makhluk yang tidak pernah bermaksiat ini. Mereka ditugaskan untuk merekod setiap pergerakan manusia. Hal ini bukan bermakna bahawa Allah perlukan pertolongan dan Allah tidak berkuasa untuk kerja-kerja itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang ghaib dan ilmuNya meliputi seluruh alam semesta. Hakikat penciptaan malaikat ini adalah menjadi syarat bagi kelulusan iman seseorang. Iman anda tidak sempurna tanpa mengakui kewujudan malaikat sebagai wakil Allah yang menguruskan hal ehwal dunia dan akhirat.
Ibnu al-Qayyim pernah menyatakan dalam kitabnya Ighothatul Lahfan min Mashayidis Syaithan’, beliau berkata: ”Para malaikat diwakili bagi mengurus kejadian manusia semenjak penciptaan nutfah hingga sempurna kejadiannya, mereka mencatit rezeki manusia, amalannya, ajalnya, kecelakaannya atau kebahagiaannya, mereka bersama manusia setiap masa dan keadaan, menjaganya ketika hidup dan mencabut rohnya ketika mati, membentangkan amalan manusia di hadapan Tuhannya. Mereka adalah utusan Allah yang menyambungkan di antara Allah dan hambaNya. Mereka membawa turun perintah Allah ke seluruh Alam dan membawa naik laporan kepada Allah.”
Rasulullah SAW menceritakan bagaimana kecintaan dan kebencian malaikat itu menaungi manusia. Sabda beliau SAW:
”Tiada suatu hari pun yang seorang hamba hidup melainkan dua malaikat turun kepadanya. Salah satu daripadanya berkata: Wahai Tuhanku berikanlah kepada orang yang bersedekah gantian balasannya. Dan yang satu lagi berkata: Wahai Tuhanku berikanlah kepada orang yang bakhil kebinasaan perbuatannya.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Kemudian sabda baginda SAW lagi:
”Dan malaikat berdoa kepada orang yang berada di tempat solatnya, Ya Allah kasihanilah dia, Ya Allah ampunilah dia, maafkanlah dia. Selama orang itu tidak menyakiti orang lain dan selama ia tidak berhadas di tempat itu.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Siapakah yang akan membawa berita gembira pada saat sakaratul maut? Yang membuka kubur seluas-luasnya untuk diperlihatkan syurga kepada kita? Yang berbaris bersaf-saf bersama orang-orang beriman yang menghadap Allah di akhirat nanti? Sesungguhnya para malaikat mengajar kita untuk sentiasa taat kepada Allah. Jangan takut dan gentar ketika menghadapi musuh yang amat jahat. Syaitan tidak akan mampu mengalahkan kita kerana di setiap zikrullah dan saat membaca al-Quran ada malaikat yang memenuhi langit memberi naungan kepada kita, ketika menuntut ilmu, berjalan ke masjid, bersedekah, puasa di hari yang panas, menghidupkan malam dengan tafakkur dan menghisab diri, mereka menyaksikan apa yang kita lakukan dengan pandangan rahmat.
No comments:
Post a Comment