Saturday, 3 December 2011
PERKAHWINAN : TUJUAN, KEBAIKAN DAN HUKUMNYA
Firman Allah Taala Yang Bermaksud :
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
(Surah Ar-Rum : 21)
1. ASAS KELUARGA
Hidup berkeluarga adalah kehendak semulajadi manusia, setiap orang akan berusaha untuk mendapat pasangan hidup yang ideal (sesuai) dengannya bagi menjamin keharmonian hidup berkeluarga.
Pembinaan sesebuah keluarga bermula dari perkahwinan. Oleh itu di dalam mencari pasangan hidup keutamaan hendaklah berpandu kepada garis yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, sebagaimana sabdanya :
" Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Utamakanlah yang berugama nescaya kamu jadi tenteram"
2. TUJUAN PERKAHWINAN
Perkahwinan mempunyai tujuan dan matlamat yang besar ia adalah SUNNAH RASULULLAH SAW.
Dalam Islam perkahwinan adalah ibadat, tidak sama dengan fahaman dan pegangan ugama-ugama lain seperti kristian, budha dan lain-lain yang mana para pembesar ugamanya tidak berkahwin kerana mereka percaya berkahwin bukan ibadat.
Berkahwin mempunyai tujuan yang murni indah diantaranya ialah :
i) Menghindarkan berlaku maksiat zina sebagaimana sabda Rasulullah SAW
"Golongan belia sekelian barangsiapa diantara kamu berkuasa (berkemampuan) menyediakan nafkah zahir batin maka hendaklah kamu berkahwin, maka sesungguhnya perkahwinan itu dapat memejamkan mata (mengelak dari melakukan maksiat) dan memelihara kehormatan dan mereka yang tidak berkuasa maka hendaklah ia berpuasa kerana sesungguhnya dengan berpuasa itu adalah menjadi perisai baginya.
ii) Menuruti fitrah melahirkan zuriat keturunan anak adam sesuai dengan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
iii) Menyempurnakan tuntutan kelamin (seks) mengikut hukum Islam.
iv) mengelak dari penyakit yang berpunca dari hubungan jenis yang tidak seimbang (seperti siflis, aids, dan lain-lain)
v) Membentuk sebuah kehidupan berkeluarga yang aman damai.
vi) Mengamalkan sunnah Rasulullah SAW.
3. KEBAIKAN DARI PERKAHWINAN
Perkahwinan merupakan tali perhubungan di antara lelaki dan perempuan. Tali yang dapat mempereratkan kasih sayang, cinta abadi, melahirkan perasaan bertimbang rasa dan bertanggungjawab serta dapat membina sebuah mahligai rumah tangga yang aman damai dan bahagia.
Perkahwinan juga dapat menghindarkan daripada perbuatan jahat dan curang serta membenteras dan menghapuskan segala nafsu kehaiwanan dan persundalan penjenayah zina. Amalan perzinaan boleh membawa kepada keruntuhan moral dan budi pekerti dan akhirnya boleh menjahanamkan kehidupan masyarakat yang bermaruah.
Ugama Islam telah mendisiplinkan umatnya dengan budi pekerti yang luhur, menghalang dari kerosakkan moral terus bermaharajalela dengan penyakit zina. Penyakit zina boleh melahirkan satu generasi yang biadap dan tidak bermoral. Ini adalah merupakan kesan negatif dari anak-anak yang dilahirkan dari proses zina.
Di dalam erti kata yang lain bahawa anak-anak dilahirkan secara haram boleh menimbulkan beraneka bentuk masalah yang sukar diatasi dan menjadi beban yang berat di dalam masyarakat.
4. HUKUM KAHWIN
Berkahwin hukumnya mengikut keadaan seseorang itu :
i) Wajib : Jika seseorang itu mempunyai nafsu syahwat yang memuncak
yang mana sekiranya tidak berkahwin akan menjerumuskannya
ke lembah maksiat zina.
ii) Sunat : Jika seseorang itu mampu tetapi masih dapat menjaga dan
mengawal dirinya dari melakukan maksiat zina.
iii) Makruh : Jika seseorang itu mempunyai keinginan tetapi tidak mampu
dari segi kewangan. Oleh hal yang demikianlah maka
Rasulullah SAW menganjurkan kepada golongan ini supaya
berpuasa.
iv) Haram : Jika seseorang itu tidak mempunyai keinginan nafsu tetapi
berkahwin dengan tujuan tidak jujur yakni mempunyai tujuan
jahat terhadap bakal isterinya.
oleh : Haji Othman Haji Ahmad
Pegawai Dakwah JHEUIK (Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan)
Sumber : epondok
No comments:
Post a Comment