Friday, 1 June 2012

BAGAIMANA SAKA DITURUNKAN



Penurunan saka ini boleh berlaku dalam dua keadaan;

Berlaku secara terus : 
Orang yang mempunyai saka itu dengan terang-terangan memberitahu yang dia menurunkan ilmunya kepada orang tertentu. Waris yang terlibat kebanyakkannya tidak menyedari bahawa apa yang diturunkan atau yang dipusakai itu adalah terdiri daripada jin-jin atau hantu-hantu. Mereka beranggapan bahawa mereka adalah istimewa berbanding dengan waris-waris lain kerana mewarisi ilmu kebatinan.

Berlaku menurut kehendak : 
Penurunan ini berlaku menurut kehendak jin itu sendiri, lebih-lebih lagi sekiranya pewaris itu telah meninggal dunia.

Biar dalam keadaan apa sekali pun, masaalah yang berkaitan dengan saka adalah sesuatu yang tidak mustahil berlaku. Ia melibatkan jin-jin, membolehkan seseorang itu melakukan sesuatu yang luarbiasa seperti yang diterangkan. Dan apabila seseorang itu menerima saka, ia akan mempunyai kebolehan untuk melakukan sesuatu seperti yang dilakukan oleh orang yang mempunyai saka yang asal.

Satu jenis saka yang lain ialah saka yang merupakan penyakit atau gangguan daripada jin-jin tidak melibatkan rawatan. Orang yang terlibat apabila diganggu saka adakalanya fungsi otaknya menjadi tidak normal, berjalan ditengah malam tanpa dapat mengawal diri, duduk termenung sendirian, marah tidak menentu, mengamuk dan sebagainya termasuk menghantuk-hantukkan kepala kedinding. 

Manusia mudah terdedah kepada masaalah termasuk penyakit kerana manusia itu tidak mempunyai ketahanan diri yang ampuh yang dikenali sebagai ‘body resistance’. Orang yang seumpama ini mudah dijangkiti kuman batuk, selsema, sakit kulit dan sebagainya berbanding dengan orang yang mempunyai ketahanan diri yang kuat.

Begitu juga dengan kekuatan roh, yang berupaya menolak pelbagai masaalah kebatinan atau kerohanian termasuk apa yang dikenali sebagai ‘saka’. Kerana itu untuk memperlengkapkan diri daripada diganggu oleh saka iaitu jin-jin tadi, kita perlu mempunyai roh yang kuat. Roh yang kuat perlu pemahaman agama, dimana ia akhirnya diterjemahkan melalui amalan atau ibadah. 

Hanya dengan ilmu sahaja seseorang itu menaruh keyakinan terhadap Allah SWT dan rasa ikhlas ketika melakukan amalan-amalan tersebut. Itulah yang dikenali sebagai sebagai amalan bertakarub iaitu memperhambakan diri kepada Allah SWT lalu akhirnya seseorang itu mendapat kurnia kasih Allah SWT. Apabila ini berlaku, orang yang berkenaan akan memperolehi kekuatan zahir dan batin. Ketika ini apabila dia bermohon, Allah SWT akan memperkenankannya dan ketika memohon perlindungan, Allah SWT akan melindunginya. Demikianlah janji-janji Allah SWT terhadap hamba kekasihnya.

Amalan-amalan ini melibatkan ibadah pada waktu malam, dimulai dengan sembahyang taubat, kemudian beristighfar, sembahyang tahajud, sembahyang tasbih, berzikir, selawat dan diakhiri dengan sembahyang hajat. Semoga Allah SWT memberi hidayah kepada kita juga kepada mereka yang menghadapi masaalah yang serupa. 

SUMBER: PERUBATAN KEROHANIAN AL-HAZ 2008

No comments:

Post a Comment