Saturday, 10 December 2011




Amalan-amalan ahli neraka.

1. Berbuat syirik kepada Allah


Syirik

Firman Allah bermaksud "Barang siapa mengharap perjumpaan dengan Rabbnya maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Rabbnya." (Surah Al Kahfi ayat 110).

Firman Allah SWT dalam surah al-Ankabut ayat 116 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang mempersekutukanNya dengan sesuatu (apa jua), dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut peraturan hukum-hukumNya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa jua), maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh."

Di dalam surah az-Zumar ayat 53 , Allah SWT berfirman maksudnya :

"Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Kenapa dalam surah al-Ankabut ayat 116, Allah SWT mengatakan dosa syirik tidak akan diampun sedangkan dalam surah az-Zumar ayat 53, Allah SWT mengatakan Dia mengampunkan semua dosa?

Jawapannya adalah konteks ayat tersebut. Dalam ayat pertama di atas, konteksnya adalah di akhirat. Iaitu selepas kita mati. Allah SWT tidak akan mengampunkan dosa syirik di akhirat. Ini kerana dosa-dosa lain masih boleh diampunkan diakhirat; dengan cara diganti dengan kebaikan yang pernah kita buat. Oleh itu, di akhirat ada orang akan bankrupt pahala kerana kesemua pahalanya telah digunakan untuk menebus dosa-dosanya terhadap Allah SWT. Ini sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dan Tirmizi:

"Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi s.a.w., bersabda: "Tahukah kamu siapakah dia orang Muflis? " Sahabat-sahabat Baginda menjawab: "Orang Muflis di antara kami, ya Rasulullah ialah orang yang tidak ada wang ringgit dan tidak ada harta benda;"

Nabi s.a.w., bersabda: "Sebenarnya orang Muflis dari kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari qiamat membawa sembahyang, puasa dan zakat, sedang datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang ini dan menuduh orang itu memakan harta orang ini, menumpah darah orang itu, dan juga memukul orang; maka akan diambil dari amal kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu; kemudian kiranya habis amal kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula dari kesalahan-kesalahan orang yang dianiayakan serta ditimpakan ke atasnya, kemudian ia dihumbankan ke dalam Neraka."

Ayat kedua pula konteksnya adalah di dunia. Ini bererti walaupun seseorang itu pernah melakukan syirik (Na'uzubillah) jika dia bertaubat dan mengucap semula dua kalimah syahadah selama dia masih hidup di dunia ini Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya.

Disinilah besarnya rahmat Allah SWT dalam memberi keampunan kepada makhluk-makhluknya. Ini juga penting untuk motivasi untuk orang-orang Islam yang pernah melakukan kerja-kerja syirik supaya dia tidak berputus asa dengan rahmat Allah kerana dia masih lagi boleh bertaubat. Jadi kepada yang pernah melakukan perbuatan dan amalan syirik maka cepat-cepatlah bertaubat dan jangan berputus asa dengan rahmat Allah SWT.

Ini juga penting sebagai peringatan untuk kita supaya selalu bertaubat ke hadrat Allah SWT kerana kita sering melakukan dosa syirik , samaada syirik besar atau syirik kecil tanpa kita sedari.



Syirik Ashghar (syirik kecil)

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya yang amat aku takuti sekali di antara segala perkara yang terjadi ke atas kamu ialah syirik kecil."

Sahabat bertanya : "Apakah syirik kecil itu?"

Baginda s.a.w. menjawab : "Ialah ria' (beramal dengan tidak ikhlas) kerana menunjuk-nunjukkan amalan."

Kemudian baginda s.a.w. menyambung :
"Di akhirat kelak, iaitu sewaktu setiap manusia melihat amalannya,
Allah s.w.t.berfirman yang bermaksud :
"Pergilah kamu semua kepada sesuatu yang kamu niatkan (menunjuk-nunjukkan ) amalan kamu ketika di dunia. Lihatlah apa yang kamu boleh perolehi balasan dari mereka itu."(Hadis Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi).Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. menegaskan :
"Allah s.w.t. tidak menerima sesuatu amal yang di dalamnya terselit perasaan ria' walaupun sebesar zarrah (atom)."

Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6 yang bermaksudnya :
“ Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak.”

Syirik Ashghar (syirik kecil) di bawah kehendak Allah s.w.t. Kalau Allah s.w.t mengampuni pelakunya maka dia tidak diadzabkan. Tetapi kalau Allah s.w.t tidak mengampunkan pelakunya, maka pelakunya masuk terlebih dahulu di neraka meskipun setelah itu dimasukkan ke dalam Syurga.
- Tidak kekal dalam neraka (kalau dia dimasukkan ke dalam neraka).
- Tidak membatalkan semua amalan tetapi sebatas yang dilakukan.
- Tidak diharamkan baginya Syurga.


2. Takut terhadap makhluk dan tidak takut terhadap khaliq, berharap kepada makhluk dan tidak kepada khaliq, bertawakal kepada makhluk dan tidak kepada khaliq, beramal dengan riya dan sum’ah, menyalahi Al-Quran dan sunnah, taat kepada makhluk dan tidak kepada khaliq, fanatik kepada kabatilan, mencela ayat-ayat Allah, menentang kebenaran, menyembunyikan ilmu dan kesaksian yang sebenarnya harus disampaikannya.


3. Melakukan sihir (santau dan sejenisnya), durhaka kepada orang tua, membunuh jiwa yang Allah haramkan tanpa jalan yang benar, makan harta anak yatim, makan riba, lari dari peperangan, menuduh wanita solehah telah berbuat zina.

Firman Allah S.W.T.

Maksudnya : “(Hukum-hukum tersebut) itu adalah ketentuan-ketentuan dari Allah. Barang siapa taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai, sedang mereka kekal di dalamnya; dan itulah kemenangan yang besar. Dan barang siapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentuan-ketentuan-Nya, nescaya Allah memasukkannya ke dalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya seksa yang menghinakan.” (Surah Al-Nisa’ ayat 13-14)

Dari Abdullah bin Amru bin Ash r.a. katanya dia mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda maksudnya : "Allah Ta’ala telah menetapkan segala ketetapan (takdir) bagi seluruh makhluk, lima puluh ribu tahun sebelum diciptakan-Nya langit dan bumi. Dan (ketika itu) Arasy Allah Ta’ala berada di atas air.”

Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud , :
"Al-Mizan itu berada ditangan Allah. Dia akan meninggikan sebahagian golongan dan merendahkan yang lain sehingga kehari kiyamat. Hati manusia berada diantara dua jari Allah Al-Rahman. Jika dikehendaki Dia akan menjadikannya istiqamah dalam kebenaran dan jika dikehendakiNya akan disesatkanNya.”
(Hadis Riwayat Ahmad, al-Nasa’ei, Ibnu Majah dan al-Hakim).

Disebabkan terlalu mudahnya hati itu berubah, kita digalakkan beramal dengan doa ini dan doa memohon ketetapan hati yang diamalkan oleh Nabi S.A.W.

Nabi S.A.W berdoa : "Ya Allah, Tuhan yang menunjukkan hati, tunjukkanlah hati-hati kami kepada jalan ketaatan pada-Mu.” (Hadis Riwayat Muslim).

"Ya Allah, Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hati-hati kami kepada agama-Mu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan al-Hakim).

Oleh itu marilah kita sama-sama berazam dan terus beramal dengan amalan-amalan ahli syurga dan terus berdoa semoga Allah S.W.T tetapkan hati-hati kita untuk terus istiqamah dan tidak berubah-ubah hinggalah kita kembali menemui Allah S.W.T. dengan mendapat husnul khatimah.


4. Mendustakan para rasul, kufur dan hasad dengki, berdusta, berhianat, berbuat zalim, perbuatan keji lagi hina, ingkar janji, memutus silaturahim, takut untuk pergi berjihad, bakhil, tidak selaras di antara zahir dan batin, berputus asa dari rahmat Allah, merasa aman dari azab Allah, berkeluh kesah (tidak sabar) ketika di timpa musibah, sombng dan tidak menyukuri nikmat, meninggalkan kewajiban terhadap Allah, melanggar batasan-batasan-Nya, melanggar perkara yang diharamkan-Nya.






No comments:

Post a Comment