Monday, 12 December 2011

Haram Lelaki Bersalaman Dengan Wanita Ajnabi


Haram Lelaki Bersalaman Dengan Wanita Ajnabi


Akhir-akhir ini, umat Islam sering mempertikaikan hukum Allah Taala, baik hukum yang kecil sehingga hukum yang besar termasuk hukum bersalaman.

Ramai kalangan masyarakat tidak menyedari perbuatan bersalam-salam antara sepupu lelaki dan wanita atau antara seorang wanita dengan bapa saudara suaminya atau sebaliknya adalah termasuk dalam hukum bersalaman wanita dengan lelaki ajnabi.

** Wanita ajnabi ialah mereka yang halal dikahwini yang bukan mahram atau bukan isterinya. (al-Zuhayli, al-Fiqh al-Islami 7/598).

Sebenarnya, seorang lelaki itu boleh bersalaman dengan wanita mahramnya berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W pernah mencium Fatimah.
(HR Abu Dawud dan al-Tirmizi).

Berdasarkan pengamatan ulama, mereka bersepakat bahawa seorang lelaki tidak boleh bersalaman dengan wanita ajnabi.

Seorang tokoh mazhab Shafie yang disegani, Imam al-Nawawi menegaskan :

‘Sesungguhnya halal melihat kepada wanita ajnabi jika ia ingin menikahinya, atau ketika urusan jual beli, atau ketika mengambil sesuatu barang atau memberi kepadanya dan seumpamanya dan tidak harus menyentuhnya dalam sesuatu situasi berkenaan’.
(al-Azkar, 228).

Ummul Mukminin Aisyah R.A pernah bersumpah menafikan Rasulullah S.A.W pernah menyentuh tangan wanita dalam bai’ah peristiwa hijrah :

‘Demi Allah, tangan baginda tidak pernah menyentuh tangan wanita pun, baginda hanya berbai’ah dengan ucapan’.
(Fath al-Bari 11/345-346 dan Sharh Sahih Muslim 13/10).

Hadis ini menjelaskan bahawa bai’ah wanita hanya berlaku dengan ucapan sahaja tanpa bersalaman. (Sharh Sahih Muslim 13/10).

Ini disokong oleh satu riwayat lain di mana Umaimah binti Raqiqah r.ah pernah berkata :

‘Aku datang kepada Rasulullah S.A.W dalam kumpulan wanita, kami ingin berbai’ah dengannya. Kami berkata : “Kami berbai’ah denganmu wahai Rasulullah bahawa kami tidak akan menyekutukan Allah dengan sesuatu, kami tidak mencuri, tida berzina, tidak membunuh anak-anak kami dan kami tidak akan membuat cerita dusta yang direka-reka serta kami tidak akan mengingkari perintahmu pada kebenaran”.

Lantas Rasulullah S.A.W bersabda :
“Pada perkara yang kamu mampu dan berdaya”.

Umaimah menceritakan lagi : “Kami berkata bahawa Allah dan RasulNya lebih mengasihani kami daripada diri kami, ayuhlah kami ingin berbai’ah denganmu wahai Rasulullah”.

Lalu Nabi s.a.w menjawab :
“Sesungguhnya aku tidak bersalaman dengan wanita, sesungguhnya perkataanku kepada seratus orang wanita adalah seperti perkataanku kepada seorang wanita atau seumpama perkataanku kepada seorang wanita”.
(HR al-Tirmizi 4/151-152, al-Nasa’i 7/149, Ibn Majah 2/959. al-Tirmizi menyebut : ‘Hadis ini hadis hasan sahih).

Hadis ini adalah nas yang jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita ketika berbai’ah. Jika Nabi seorang yang maksum tidak bersalaman ketika bai’ah, maka lebih aula hukumnya dalam situasi selain bai’ah.

Apabila Rasulullah s.a.w. tidak bersalaman dengan wanita, sudah tentu kita juga wajib mengikut sunnah baginda kerana baginda s.a.w. adalah qudwah dan ikutan kita semua.

Dengan dalil-dalil yang sudah jelas dan terang ini, maka tertolaklah segala dakwaan dan hasutan yang cuba menghalalkan perbuatan bersalaman antara lelaki dan wanita. Sesetengah orang berhujahkan keharusan bersalaman dengan wanita melalui hadis Ummu Atiyyah yang diriwayakan oleh al-Bukhari. (Fath al-Bari 10/262).

Di sini, saya tidak mahu memanjangkan syubhah-syubhah yang dikaitkan dengan riwayat tersebut.

Cukup saya nukilkan penjelasan al-Albani rahimahullah, pakar hadis terkenal :

‘Dan kesimpulannya ialah tidak sahih daripada Rasulullah s.a.w. bahawa baginda bersalaman dengan wanita walaupun ketika peristiwa bai’ah, lebih-lebih lagi dalam situasi ketika bertemu. Segilintir orang yang berhujah keharusannya dengan hadis Ummu Atiyyah yang saya sebutkan tadi sedangkan lafaz bersalaman tidak pernah disebut dalam riwayat tadi dan mereka berpaling daripada hadis-hadis yang jelas menafikan Nabi s.a.w. bersalaman adalah merupakan satu perkara yang tidak keluar dari seorang mukmin yang ikhlas’.
(Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 2/55).

Oleh itu, bagi kita umat Islam, tiada yang lebih baik dan lebih utama kecuali mengikuti sunnah dan petunjuk Nabi s.a.w.

Dalam era moden sekarang, tidak perlu kita mendakwa untuk meniti arus kemodenan maka kita mesti mengikuti semua budaya barat dan cara mereka. Bahkan sebenarnya, yang menjadi keutamaan kita ialah memperkukuhkan diri kita dengan nilai-nilai murni Islam dalam era modenisasi sekarang. Ini supaya kita tidak mudah terjerumus dan tergelincir dihanyutkan oleh kesesatan dunia hari ini.

Mudah-mudahan semua umat Islam mendapat hidayah Allah s.w.t.

No comments:

Post a Comment