Showing posts with label HADIS-HADIS JAKIM. Show all posts
Showing posts with label HADIS-HADIS JAKIM. Show all posts

Wednesday, 20 June 2012

ISTERI DERHAKA TEMPATNYA DI NERAKA



Hadith :


Dari Ibnu Abbas r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:”Diperlihatkan (Allah) kepadaku akan neraka.. Ketika itu kulihat kebanyakan isinya terdiri daripada perempuan-perempuan kafir.” Baginda ditanya oleh seseorang:”Apakah mereka kafir kepada Allah?” Jawab Rasulullah, “Mereka kafir kepada karib (suami) dan (tidak tahu berterima kasih) atas kebaikan (yang diterimanya). Biarpun engkau telah berbuat baik kepadanya sepanjang masa, kemudian dilihatnya daripadamu sedikit kesalahan sahaja, lantas ia berkata:”Saya tidak pernah melihat kebaikan darimu sedikit pun!” 
(al-Bukhari)

Huraian :

1. Seorang suami tidak boleh membenci isterinya sampai menceraikannya hanya kerana satu kelakuan isterinya yang tidak menyenangkan. Tetapi hendaklah dipertimbangkan dengan perilaku lain yang menyenangkan dari isterinya. Begitu jua keadaannya bagi seorang isteri terhadap suaminya.

2. Tugas seorang isteri di samping harus taat kepada Allah SWT hendaklah taat kepada suaminya. Sekiranya kedua-dua tugas ia dapat dilaksanakan dengan baik, maka syurgalah baginya. 


Sabda Rasulullah: 

"Jika seorang perempuan telah sembahyang lima waktu, menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya pasti ia masuk syurga dari berbagai pintu yang dikehendakinya." (Riwayat Ibnu Hibban) 

3. Sebagai perempuan atau wanita yang bergelar isteri, kita mempunyai satu kewajipan yang besar dan penting terhadap suami. Sebelum kewajipan lain dilaksanakan, kewajipan terhadap suami harus didahulukan. 

Manakala bagi lelaki mereka pula mempunyai kewajipan yang amat besar terhadap ibunya. Sejauh kemampuannya, ia perlu memenuhi setiap kewajipan terhadap ibunya, kerana itu kewajipan yang mesti dilaksanakan. 


4. Rasulullah bersabda: 

"Wanita yang taat terhadap suaminya, diminta ampun oleh burung di angkasa, ikan-ikan di dalam air, malaikat di langit, matahari dan bulan, selama wanita itu ada dalam kerelaan suaminya. Dan setiap wanita yang derhaka kepada suaminya, maka kepadanyalah laknat Allah, malaikat dan manusia semuanya. Dan setiap wanita yang bermuka masam pada suaminya, ia adalah dalam kemurkaan Allah Ta'ala sampai ia (wanita/isteri) bersenda gurau dengan suaminya dan ia meminta kerelaanya. Dan setiap wanita yang keluar dari rumahnya tanpa izin suaminya, malaikat melaknatnya hingga ia pulang." 
(Riwayat Al Bazzar). 



AL-QURAN PEMBERI SYAFAAT DI HARI AKHIRAT



Hadith :

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.”
(Riwayat Muslim)

Huraian

Pengajaran Hadis:

i) Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. 

Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. 

Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

iii) Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :

” Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap.”

iv) Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu’) dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta’auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

v) Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar. 

ALLAH S.W.T. FARDHUKAN SOLAT 5 WAKTU ATAS UMAT NABI MUHAMMAD S.A.W.




Hadith :

Dari Anas r.a katanya:”Nabi Muhammad SAW telah bersabda 

":.... (selain dari apa yang telah aku saksikan semasa aku dibawa israk dan mikraj pada malam itu), maka Allah fardhukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang...lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah SWT berfirman:”Sembahyang fardhu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti...”
( Bukhari )

Huraian
1. 27 Rejab mencatatkan lakaran sejarah penting yang berlaku ke atas Rasulullah S.A.W kerana pada tarikh tersebutlah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj ke atas baginda. 

Ia berlaku pada tahun yang dinamakan “Tahun Dukacita” di mana baginda telah kehilangan dua orang insan yang telah banyak memberi pertolongan dan bantuan sepanjang menjalankan dakwah suci iaitu isteri baginda Siti Khadijah dan bapa saudara baginda Abu Talib.

Di dalam peristiwa ini banyak perkara telah berlaku dan yang paling utama adalah mengenai sembahyang yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. 

Baginda S.A.W telah menerima kewajipan sembahyang lima waktu ketika Mikraj sebagaimana yang digarapkan oleh imam Bukhari di dalam sohihnya.

Jika kita perhatikan mengenai kewajipan ini maka fahamlah kita tentang betapa besarnya ganjaran dan peranan sembahyang di mana sembahyang itu jika dikerjakan dengan sempurna mampu mencegah umat Islam daripada melakukan perkara yang dilarang oleh Allah S.W.T.

Peringatan Rasulullah S.A.W mengenai sembahyang ini harus dititikberatkan memandangkan sekarang ini ramai di kalangan umat Islam yang mengabai dan memandang mudah terhadap sembahyang lima waktu apatah lagi menunaikannya secara berjemaah. 

Pengaruh keduniaan telah menghantui mereka sehingga sanggup meninggalkannya demi mengejar habuan dunia yang tidak seberapa dan hanya sementara.

GOLONGAN YANG TIDAK DIENDAHKAN ALLAH S.W.T.



Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda:

” Ada tiga golongan di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka, tidak membersihkan mereka daripada dosa,”
- kata Muawiyah, “juga tidak akan memandang mereka (mengendahkan mereka), bahkan mereka akan mendapat siksa yang pedih iaitu: 1) Orang tua penzina; 2) Raja (penguasa) yang pembohong ; 3) si miskin yang sombong.”
(Muslim)


Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Mereka tidak tahu mensyukuri nikmat pemberian Allah dan ada pula yang tidak sabar dengan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT. 

Nikmat kepanjangan usia contohnya, membuatkan manusia hidup bersenang-lenang melakukan berbagai maksiat tanpa berusaha menambahkan amal kebaikan selama tempoh hayatnya yang panjang kurniaan Allah S.W.T. itu. Bahkan tanpa segan silu dengan anak cucu apalagi dengan masyarakat sekelliling, 'si tua bangka' masih bergelumang dengan dosa perzinaan. 

Begitu juga dengan pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjalankan pemerintahan, menjadi lupa  bahawa jawatan yang sedang disandang itu adalah amanah dari Allah S.W.T. Malah  menjadi 'lupa daratan' dengan mensia-siakan kepercayaan itu dengan melakukan berbagai penipuan dan pembohongan yang mengecewakan harapan rakyat. Lupa mensyukuri nikmat pemberian Allah S.W.T. di dunia yang hanya sementara cuma ini.

Termasuklah di sini, orang-orang miskin yang sombong, yang juga dibenci oleh Allah S.W.T. Di mana kemiskinan itu telah membuatkan dia lupa dengan akhirat, lupa dengan Allah, lupa dengan tujuan hidupnya dan lupa untuk beramal dan selalu disibukkan oleh usahanya mencari makan dan minum untuk menyambung hayatnya. 

Bahkan kerana miskin juga ada yang berlagak sombong dan menyisihkan diri daripada orang ramai tanpa mahu bergaul. Kerana kemiskinan juga banyak orang miskin yang terjerumus dalam kekafiran, dan ia rela menjual agamanya kerana tuntutan hidupnya sementara ia dijanjikan hidup yang baik dalam agama lain. 

Tiga golongan ini tidak akan dipedulikan oleh Allah dan bakal menerima azab di hari akhirat kelak.

SAYANG MENYAYANGI



Adakah kita saling sayang menyayangi sesama kita? 

Adakah kita sentiasa mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin?

Adakah kita sayangkan saudara kita sepertimana kita sayangi diri kita sendiri? 

Adakah kita tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita sendiri tidak mahu hidup menderita?

Tepuk dada tanya iman kerana kesempurnaan iman itu dikaitkan dengan sifat saling sayang menyayangi. 

Rasa bersama dan menyatakannya melalui ungkapan dan reaksi gerak badan memang diajarkan oleh Rasulullah SAW.

Contohnya :

~  saling memberikan hadiah walaupun kecil 

~ sentiasa berterima kasih

~ ziarah-menziarahi 

~ saling membantu dan berkongsi suka-duka 

~ bertakziah/bersimpati apabila ditimpa malapetaka

Islam menggalakkan umatnya agar kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala, seperti hanya pada hari ibu atau pada hari bapa baru hendak membawa ibu atau bapa kita keluar makan misalnya. 

Islam juga menetapkan jika kita tidak bertegur sapa sesama saudara Islam selama tiga hari berturut-turut, hukumnya adalah haram. 

Berkasih sayang dalam Islam tidak terhad kepada golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak tetapi keutamaan hendaklah diberikan kepada keluarga terdekat kita sendiri dahulu, dimulai dengan ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya seluruh manusia.