Showing posts with label DON'T BE SAD. Show all posts
Showing posts with label DON'T BE SAD. Show all posts

Thursday, 10 January 2013

DOA ADALAH TALIAN HAYAT SEORANG HAMBA ALLAH


Firman Allah S.W.T yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. (al-Baqarah: 186)

Oleh itu jangan dipersiakan 'senjata mukmin' ini.

Lebih-lebih lagi Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Doa itu ialah ibadat. (riwayat Bukhari)

Maka setiap kali ditimpa apa juga ujianNya,segeralah mengangkat tangan berdoa serta memohon kepada-Nya.



Wednesday, 14 December 2011

Malaikat



Hidup Bersama Malaikat Allah

Beruntunglah orang-orang yang beriman kerana perbuatan mereka sentiasa dipuji dan menjadi perhatian para malaikat. Sesungguhnya makhluk Allah yang tak terhitung banyaknya ini sentiasa menjadi sahabat orang beriman.

1.  Mereka sentiasa mendoakan kita

2.  Memberi ilham berupa lintasan- lintasan di dalam hati manusia

3.  Menyaksikan ibadat kita

4.  Memuji segala kebaikan yang dilakukan.

Hal ini pernah diceritakan oleh baginda Rasulullah SAW dalam hadisnya:

“Sesungguhnya syaitan itu ada pengaruh dalam lintasan hati anak Adam dan para malaikat juga ada pengaruhnya. Pengaruh syaitan adalah mengilhamkan manusia supaya berbuat kejahatan dan menolak kebenaran. Adapun lintasan para malaikat adalah mengilhamkannya melakukan kebaikan dan membenarkan yang hak. Maka barangsiapa yang mendapat ilham kebaikan, hendaklah dia mengetahui bahawa itu adalah daripada Allah. Dan siapa yang mendapat sebaliknya hendaklah dia meminta perlindungan kepada Allah daripada syaitan.” Hadis riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’i dan Ibnu Hibban.

Rasulullah SAW pernah menyatakan jumlah malaikat yang memenuhi ruang dengan sabdanya:

”Langit telah bersuara dan sememangnya ia berhak mengeluarkan suara, kerana tidak ada suatu tempat sekadar empat jari melainkan ada di atasnya malaikat yang sujud.” Hadis riwayat al-Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Bazzar.

Perbuatan yang kita lakukan semuanya mesti menjadi perhatian makhluk yang tidak pernah bermaksiat ini. Mereka ditugaskan untuk merekod setiap pergerakan manusia. Hal ini bukan bermakna bahawa Allah perlukan pertolongan dan Allah tidak berkuasa untuk kerja-kerja itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala yang ghaib dan ilmuNya meliputi seluruh alam semesta. Hakikat penciptaan malaikat ini adalah menjadi syarat bagi kelulusan iman seseorang. Iman anda tidak sempurna tanpa mengakui kewujudan malaikat sebagai wakil Allah yang menguruskan hal ehwal dunia dan akhirat.

Ibnu al-Qayyim pernah menyatakan dalam kitabnya Ighothatul Lahfan min Mashayidis Syaithan’, beliau berkata: ”Para malaikat diwakili bagi mengurus kejadian manusia semenjak penciptaan nutfah hingga sempurna kejadiannya, mereka mencatit rezeki manusia, amalannya, ajalnya, kecelakaannya atau kebahagiaannya, mereka bersama manusia setiap masa dan keadaan, menjaganya ketika hidup dan mencabut rohnya ketika mati, membentangkan amalan manusia di hadapan Tuhannya. Mereka adalah utusan Allah yang menyambungkan di antara Allah dan hambaNya. Mereka membawa turun perintah Allah ke seluruh Alam dan membawa naik laporan kepada Allah.”

Rasulullah SAW menceritakan bagaimana kecintaan dan kebencian malaikat itu menaungi manusia. Sabda beliau SAW:

”Tiada suatu hari pun yang seorang hamba hidup melainkan dua malaikat turun kepadanya. Salah satu daripadanya berkata: Wahai Tuhanku berikanlah kepada orang yang bersedekah gantian balasannya. Dan yang satu lagi berkata: Wahai Tuhanku berikanlah kepada orang yang bakhil kebinasaan perbuatannya.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Kemudian sabda baginda SAW lagi:

”Dan malaikat berdoa kepada orang yang berada di tempat solatnya, Ya Allah kasihanilah dia, Ya Allah ampunilah dia, maafkanlah dia. Selama orang itu tidak menyakiti orang lain dan selama ia tidak berhadas di tempat itu.” Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Siapakah yang akan membawa berita gembira pada saat sakaratul maut? Yang membuka kubur seluas-luasnya untuk diperlihatkan syurga kepada kita? Yang berbaris bersaf-saf bersama orang-orang beriman yang menghadap Allah di akhirat nanti? Sesungguhnya para malaikat mengajar kita untuk sentiasa taat kepada Allah. Jangan takut dan gentar ketika menghadapi musuh yang amat jahat. Syaitan tidak akan mampu mengalahkan kita kerana di setiap zikrullah dan saat membaca al-Quran ada malaikat yang memenuhi langit memberi naungan kepada kita, ketika menuntut ilmu, berjalan ke masjid, bersedekah, puasa di hari yang panas, menghidupkan malam dengan tafakkur dan menghisab diri, mereka menyaksikan apa yang kita lakukan dengan pandangan rahmat.





Monday, 12 December 2011

Jangan Sedeh Apabila diri di hina



Sememangnya sukar untuk kita diam dan bersabar apabila kita dihina, diumpat, dikeji, difitnah atau dimalukan lebih-lebih lagi di khalayak ramai, di pejabat atau dalam masyarakat. Namun itulah tindakan yang terbaik bagi kita.

Apabila kita menjawab balik hinaan yang dilontarkan pasti bukan kita yang bercakap tapi yang "bertanduk dua" yang sedang menguasai akal fikiran kita pada masa itu. Jadi, seeloknya kita diam sejenak.

Istighfar di dalam hati dan ingatkan diri kita supaya bersabar menghadapi hinaan yang dilontarkan.

Ingatlah, orang yang menghina kita dengan menggunakan perkataan yang teruk (Contohnya bangang, bodoh, gedik dan sebagainya) sebenarnya sedang mendoakan keburukan itu untuk dirinya, suami atau isteri mereka, ahli keluarga, adik-beradik dan lebih parah lagi sebenarnya mereka mendoakan untuk anak-anak mereka. Nauzubillah.

Sebenarnya cacian dan hinaan yang dilemparkan itu adalah RAHMAT daripada ALLAH. Kenapa? Sebab setiap hinaan yang dilontarkan kepada kita adalah penghapus bagi setiap dosa-dosa kita semalam. Lebih beruntung lagi, kita akan dapat banyak pahala percuma. (Tapi dengan syarat kita kena sabar dengan apa yang berlaku)

Ingatlah bahawa ada hikmah di sebalik setiap dugaan dan cabaran yang kita hadapi. Sebenarnya Allah hendakkan hamba-Nya kembali kepada-Nya. Mengadu kepada-Nya lantaran sebelum ini kita semakin jauh, lalai dan lupa kepada-Nya.

Apabila kita difitnah, kita akan tidak dapat tidur malam lantaran memikirkan tentang fitnah yang dilontarkan kepada kita. Maka, kita dengan sendirinya akan bangun bertahajud setiap malam mohon kepada Allah agar diberi ketenangan, kemaafan dan keampunan dari-Nya sepanjang hidup ini. Kesan daripada itu (sentiasa bertahajud selalu), hati akan menjadi semakin tenang dan bahagia walaupun dikelilingi orang yang sentiasa mencari salah kita dan orang yang tidak mahu memandang wajah kita.

HIKMAH dan REZEKI yang melimpah ruah menanti kita di sebalik ujian tersebut. Contohnya Allah permudahkan segala urusan kita. Allah pertemukan kita dengan rakan-rakan yang mulia hatinya, rakan-rakan yang boleh membantu kita menjana ekonomi kita dengan lebih mantap, pasangan yang memahami dan menyayangi kita dengan sepenuh hatinya, anak-anak yang baik, keluarga yang memahami dan pelbagai lagi.

Kita juga akan menemui dan dapat menilai siapa sahabat kita yang sebenar dan siapa musuh kita. Cara dan gaya hidup kita pun mungkin akan berubah ke arah lebih baik dan lebih bermotivasi. Mungkin sebelum ni kita susah nak baca buku-buku yang bermanfaat. Mungkin kita juga berpeluang mengenali tokoh-tokoh motivasi yang hebat yang terkenal di seluruh dunia. (Contoh : Dr Aidh Abdullah Al-Qarni, Imam Ghazali dan lain-lain). Selain itu, kita juga akan mampu untuk menjadikan diri kita insan yang sangat kuat, tabah, sabar dan mengubah seluruh pemikiran dan idea kita selama ni.

Pendek kata, apa yang berlaku pada kita walaupun buruk pada pandangan manusia, namun sebaliknya pada pandangan Allah. Fikirkanlah bahawa semua yang berlaku adalah RAHMAT ALLAH. Insya-Allah hidup kita lebih tenang, bahagia dan sangat matang. Insya-Allah

Thursday, 1 December 2011

Jangan bersedih, kita kepunyaan Allah dan kepada Allah kita semua kembali



Bersabar Dengan Kematian Orang di Kasihi Mendapat Balasan Syurga

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud,” Tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya, kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan mendapat balasan syurga.”
(Hadis Riwayat Bukhari)

Huraian
i) Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup.

ii) Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
(Maksud al-Baqarah :156)

iii) Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.

iv) Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.

v) Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

(Sumber dari JAKIM)



Jangan bersedih, pahala orang bersabar itu tidak terkira



Orang mukmin sabar dan yakin dengan janji-janji Allah dan tidak mudah kecewa mahupun berputus asa dengan rahmat Allah S.W.T.:

Keyakinan kepada Allah sepenuhnya menjadi mereka tenang menerima apa saja ketentuan Allah kerana yakin apa yang ditentukan-Nya itu yang lebih baik untuk mereka.

Jadi kita juga hendaklah seperti mereka, yakin dan reda dengan ketetapan Allah. Janganlah kita merintih dan menyesalinya.

Kita hendaklah yakin bahawa kejayaan dan ganjaran di sebalik ujian Allah hanya boleh dicapai dengan bersabar dan dengan pengharapan yang tinggi bahawa Allah akan menggantikan untuk kita keadaan yang lebih baik sama ada di dunia dan akhirat.

Maka kita hendaklah bersyukur kepada Allah terhadap bencana yang kita terima kerana
musibah itu bukan merupakan kesesatan, kefasikan atau kekufuran. Sepertimana yang Rasulullah S.A.W. selalu berdoa (minta dijauhkan dari kesesatan, kefasikan atau kekufuran) yang maksudnya : “ Wahai Tuhanku, janganlah Engkau jadikan musibah kami atas agama kami”

Sebenarnya kita sedang menanti pertolongan daripada Allah.

Firman Allah S.W.T. maksudnya : “Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Surah Al-Baqarah ayat 216)

Semoga hati kita sentiasa reda dan tidak keluh kesah atas apa saja dugaan dan cabaran  dalam hidup ini. Ingatlah hidup kita hanya sementara dan di akhiratlah kehidupan yang kekal abadi .

Dengan esabaran kita, maka Allah S.W.T. telah berjanji di dalam al-Quran yang bermaksud : "Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"
(Surah az-Zumar, ayat10).


Jangan bersedih, sentiasa berprasangka baik kepada Allah


Orang Mukmin Sentiasa Bersabar dengan Musibah dan Reda dengan Ketentuan Allah. Orang mukmin sentiasa bersikap positif dan reda dengan qada dan qadar daripada Allah S.W.T.

Setiap apa yang ditakdirkan oleh Allah S.W.T.dianggap sebagai baik kerana mengandungi hikmah yang mungkin tidak dapat dijangka oleh akal fikiran manusia. Dan hanya Allah S.W.T. sahaja yang Maha Mengetahu segala hikmah di atas setiap kejadian dan ketentuan-Nya.

Firman Allah S.W.T. maksudnya :
"Dan Kami pasti menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata ; "Inna lillahi wa inna illahi rajiun" (sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nyalah kami kembali). Merekalah yang memperoleh ampuna dan rahmat dari Tuhannya, dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk."
(Surah al-Baqarah ayat 155-157)


Sifat sabar adalah sifat orang mukmin yang sentiasa hati dan jiwanya berhubung dengan Allah S.W.T. dan apabila sesuatu yang mendukacitakan berlaku atas dirinya lidahnya terus menyebut "Inna lillahi wa inna illahi rajiun"(sesungguhnya kami milik Allah, dan kepada-Nyalah kami kembali.)

"….Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya, kecuali orang-orang yang sesat".
(Surah al-Hijr ayat 56)

Wednesday, 30 November 2011

Jangan bersedih, jadikan sabar dan solat sebagai penolong


Jadikanlah Sabar dan Solat Penolongmu

Terdapat tidak kurang 94 perkataan `sabar' di dalam al-Quran.

Allah s.w.t berfirman maksudnya :
``Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 153)

``Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.''  (Surah al-Baqarah ayat 155)

Allah s.w.t menyeru supaya kita menjadikan sabar dan solat itu sebagai penolong. Para ahli tafsir menyatakan bahawa suruhan ini adalah wajib kerana berbentuk suruhan kepada orang-orang Mukmin. Jika orang Mukmin meninggalkan sifat sabar dan meninggalkan solat maka ianya berdosa.

Allah berfirman dalam yang bermaksud : "Orang-orang yang berdo'a dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab Neraka"; (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur"
(Surah Ali-Imran ayat 16 -17)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya"
(Surah al-Baqarah ayat 45-46)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dijelaskan bahwa, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila menghadapi suatu persoalan, baginda segera mengerjakan solat“.

Huzaifah bin Yaman menuturkan, “Pada malam berlangsungnya perang Ahzab, saya menemui Rasulullah s.a.w, sementara baginda sedang solat seraya menutup tubuhnya dengan jubah. Bila baginda menghadapi persoalan, maka baginda akan mengerjakan solat".

Bahkan Ali bin Abi Thalib k.w. menuturkan keadaan Rasulullah s.a.w pada perang Badar, “Pada malam berlangsungnya perang Badar, semua kami tertidur kecuali Rasulullah, baginda solat dan berdo’a sampai pagi“.

Salah satu solat sunat mu'akkad yang amat dituntut selepas solat fardhu adalah solat tahajjud. Ketika waktu bertahajjud inilah kita berdo'a dan bermunajat kepada Allah s.w.t meminta apa saja pertolongan daripada-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)

Dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)



Jangan bersedih, sabar itu ibadah



Sabar Hadapi Ujian di Janjikan Syurga

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” (Hadis riwayat Thobrani)

Allah berfirman yang bermaksud:
“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?” (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan aku jadikan bagi kamu sekalian keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian) dan kepada Aku-lah kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Anbia’, ayat 35)

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian bahawa sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Jalan terbaik bagi menghadapi ujian Allah adalah dengan banyak-banyak bersabar seperti mana dianjurkan oleh Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)

Bertawakallah kepada Allah.

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sepenuhnya urusanku ini, kuserah pasrahkan bulat-bulat kepada Allah, sebab Ia Maha memperhatikan semua urusan hamba-Nya.” (Surah al-Mukmin, ayat 44)

Yakinlah bahawa segala ujian dari Allah menunjukkan bahawa Allah masih ingat dan sayang kepada kita. Allah mencuba dan menguji kita supaya ingat selalu kepada-Nya. Orang yang kuat imannya sangat suka bila diuji dengan cubaan Allah kerana itu satu cara Allah menghapuskan dosa jika dihadapi dengan penuh kesabaran dan keimanan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Beginilah Allah memilih hamba-Nya untuk menghuni syurga-Nya di akhirat nanti, dengan memberi ujian sama ada kecil atau besar. Hanya orang yang kuat imannya saja yang layak mendapat kesejahteraan yang abadi.

Firman Allah yang bermaksud:
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dapat masuk ke dalam syurga, padahal belum kamu mengalami duka derita yang pernah dialami dan menimpa orang terdahulu sebelum kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 214)








Jangan bersedih, penyakit itu penghapus dosa



Kesabaran Mukmin Ditimpa Penyakit dan Kesedihan

Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata:
"Aku tidak pernah melihat seorang pun yang paling banyak menanggung penderitaan daripada Rasulullah saw."
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Abdullah bin Masud ra., ia berkata:
Aku masuk menemui Rasulullah saw. ketika baginda sedang menderita penyakit demam lalu aku mengusap baginda dengan tanganku dan berkata: "Wahai Rasulullah! Sesungguhnya engkau benar-benar terjangkit demam yang sangat parah."

Rasulullah saw. bersabda maksudnya :" Ya, sesungguhnya aku juga mengidap demam seperti yang dialami oleh dua orang di antara kamu."Aku berkata: "Itu, kerana engkau memperoleh dua pahala." Rasulullah saw. bersabda maksudnya : "Benar."
Kemudian Rasulullah saw. bersabda: Tidak ada seorang Muslim pun yang tertimpa suatu penyakit dan lainnya kecuali Allah akan menghapus dengan penyakit tersebut kesalahan-kesalahannya seperti sebatang pohon yang merontokkan daunnya. " (Hadis Shahih Riwayat Muslim )

Hadis riwayat Aisyah ra., ia berkata:
Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda maksudnya : "Tidak ada seorang Muslim pun yang tertusuk duri atau tertimpa bencana yang lebih besar dari itu kecuali akan tercatat baginya dengan bencana itu satu peningkatan derajat serta akan dihapuskan dari dirinya satu dosa kesalahan".
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Abu Said Al-Khudri ra.:
Bahwasanya ia pernah mendengar Rasulullah saw. bersabda maksudnya : "Tidak ada satu kepedihan pun atau keletihan atau penyakit atau kesedihan sampai perasaan keluh-kesah yang menimpa seorang Muslim kecuali akan dihapuskan dengan penderitaannya itu sebagian dari dosa kesalahannya."
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Abu Hurairah ra., ia berkata:
Ketika turun ayat: "Barang siapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu, kaum Muslimin merasa sangat sedih sekali, lalu Rasulullah saw. bersabda maksudnya : "Janganlah kamu sekalian terlalu bersedih dan tetaplah berbuat kebaikan kerana dalam setiap musibah yang menimpa seorang Muslim terdapat penghapusan dosa bahkan dalam bencana kecil yang menimpanya atau karena sebuah duri yang menusuknya."
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)

Hadis riwayat Ibnu Abbas ra.:
Dari Atha bin Abu Rabah ia berkata: Ibnu Abbas ra. pernah berkata kepadaku: "Maukah kamu aku perlihatkan seorang wanita penghuni Syurga?
Aku menjawab: "Mau".
Ia berkata: "Wanita berkulit hitam ini pernah mendatangi Nabi saw. dan berkata: 'Sesungguhnya aku menderita penyakit ayan dan auratku terbuka, maka mohonlah kepada Allah demi kesembuhanku.
Nabi saw. bersabda maksudnya : "Kalau kamu mau bersabar, maka bagimu adalah Syurga. Dan kalau kamu mau sembuh, maka aku akan memohonkan kepada Allah semoga Dia menyembuhkan penyakitmu."
Wanita itu berkata: "Baiklah aku akan bersabar."
Wanita itu berkata lagi: "Sesungguhnya auratku selalu terbuka, maka mohonkanlah kepada Allah agar aku tidak terbuka aurat."
Lalu Rasulullah berdoa untuknya.
(Hadis Shahih Riwayat Muslim)



KESEMBUHAN ITU MILIK ALLAH

Sesungguhnya kesembuhan itu milik Allah. Kata-kata yang telah dijadikan perangsang bagi memotivasikan diri sendiri dan insan lain yang sedang sakit dalam menghadapi keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan. Begitulah antara ujian kecil berupa penyakit yang dihidapi oleh kebanyakan insan yang telah dipilih oleh Allah sebagai bukti kasih sayang-Nya, kafarah dosa dari-Nya, dan peningkatan darjat hambaNya.

Sesungguhnya penyakit yang diturunkan oleh Allah ini banyak menguji ketahanan fizikal dan mental, kerana tempoh tersebut merupakan titik tolak ke arah kesedaran bahawa kematian akan mengejar kita bila-bila masa sama ada bersedia atau tidak.

"Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng-benteng yang tinggi lagi kukuh." [al-Nisaa' 4:78]

Mengingati saat menziarahi jenazah suami kepada seorang sahabat yang meninggal dunia secara tiba-tiba tahun lepas telah banyak mengubah paradigma tentang kematian itu sendiri. Sama ada kita bersedia atau tidak, bertaubat atau belum bertaubat, ajal itu pasti akan datang, cuma waktu dan ketikanya sahaja tidak diketahui. Cuma persoalannya, adakah kita telah bersedia dengan bekalan-bekalan yang disediakan? Adakah cukup bekalan yang disediakan? Bagaimanakah keadaan kita semasa dalam alam kubur? Bernasib baik atau sebaliknya?

Hal ini sedikit sebanyak telah menghantui diri sendiri sehingga telah mewujudkan suatu ketakutan yang luar biasa dalam diri. Hal ini ditambah pula dengan penyakit yang dialami yang masih tidak sembuh-sembuh, telah meningkatkan lagi tahap ketakutan dan pada masa yang sama telah mewujudkan satu situasi yang tegang dalam emosi, fikiran serta memberi tekanan kepada diri sendiri.

Namun begitu, ketahanan mental dan fizikal berteraskan ayat-ayat Allah telah berjaya mengatasi masalah tekanan tersebut sehingga dapat kembali mewujudkan satu senario yang aman dan tenang hingga kembali semula kepada keadaan asal. Mengingati mati dapat melembutkan hati, tetapi apabila mengingati kematian itu secara negatif, hal ini akan dapat memberikan kesan negatif kepada diri sendiri.

Apabila kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, menyerahkan segala-segalanya kepada Dia, berdoa bersungguh-sungguhnya kepada-Nya, Sesungguhnya Dia yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, akan mengabulkan dan memperkenankan doa kita. Berusaha, berdoa,berserah, bertawakal itulah tanda pergantungan seorang hamba kepada Tuhannya.

"Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar." [Al-Baqarah, 2:153]

Segala masalah penyakit, rujuklah kepada Allah. Daripada-Nya datang segala kebaikan, dan kejahatan juga tidak berlaku dengan izin Allah. Kita perlu berikhtiar, berusaha dan doa-doa kita yang dimakbulkan dan ada juga yang Allah tangguhkan tetapi semuanya perlu dilakukan dengan hati yang ikhlas.

Kuasa penyembuhan semuanya dari Allah. Kita sebagai hamba-Nya perlu redha dengan apa yang ditetapkan kerana setiap apa yang diturunkan kepada kita adalah ujian, sama ada kita dapat redha menerima atau tidak, semuanya untuk meningkatkan darjat kita di samping membersihkan dosa-dosa yang dilakukan.

Tidakkah semua ini adalah rezeki dari Allah, dimana Dia sering memberi perhatian kepada kita, tidakkah ini akan membuatkan kita sentiasa ingat pada-Nya? Anggaplah suatu penyakit itu sesuatu yang positif kerana jika kita redha dengan suatu ujian, Allah akan melipat gandakan pahala kita.Semoga anda semua cepat sembuh begitu juga diriku ini.

Adalah diharapkan artikel ini dapat membawa manfaat kepada semua dan marilah kita saling ingat-mengingati antara satu sama lain. Kelalaian dan kelekaan terhadap duniawi pasti mewujudkan satu jurang yang besar dalam diri kita sendiri dengan Allah.Semoga artikel ini akan menjadi saksi bagi diriku di akhirat kelak sebagai salah satu medium untuk berdakwah kepada pembaca semua.

Redhalah dengan ujian yang kecil ini kerana ujian itu adalah hadiah dan cinta dari Allah. Bersabarlah dengan penyakit yang menimpa ini dan yakin akan sembuh kerana sesungguhnya kesembuhan itu milik-Nya, tiada apa yang kita cari melainkan dalam kembara hidup ini selain memburu cinta dan rindu-Nya.

Ungkapan syukur yang tidak terhingga kepada Allah kerana penyakit yang ditimpakan kepada diriku tidaklah sehebat penyakit kritikal yang dihidapi oleh insan lain, walaupun kecil, penyakit ini tetap memberi kesan yang kuat terhadap sistem ketahanan fizikal disamping memberi tekanan yang hebat terhadap mentalku. Aku bersyukur aku masih diberi kesempatan oleh Allah untuk menghirup udaranya yang segar ini. Berusaha, berdoa dan bertawakal itulah kekuatan sebenarnya dalam penyembuhan penyakit ini. Yakin dan positiflah dengan ujian penyakit yang diturunkan kepada kita.

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta." [Al-Ankabut, 29:2-3]

Akhir kata, jadikan ayat-ayat Allah sebagai peransang dalam meningkatkan motivasi dalaman kita dalam membentuk keperibadian soleh dan solehah.

"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang beriman." [Al-Imran, 3:139]

Sesungguhnya Dialah yang mencipta perasaan cinta dan rindu itu. Semoga Dia yang sangat kita cintai dan kita rindui akan tetap terpahat kukuh dalam jiwa dan sanubari kita. Wallahua'lam.

- Artikel iluvislam.com


Jangan bersedih, berbual dan mengadulah kepada Allah


Jangan bersedih lagi.....Allah ada

Firman Allah swt yang bermaksud :

"Dan apabila hamba-hamba- Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka bahawas nya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran"
(Surah al-Baqarah ayat 186)

Allah memberikan baik dan buruk sesuatu perkara hanya atas tiga perkara:

1) Kerana Dia mahu mengingatkan kita kepadaNya.

2) Kerana Dia mahu mengampunkan dosa kita.

3) Kerana Dia mahu mengangkat martabat kita di sisiNya.

Allah Maha lagi Maha Penyayang sehinggakan bila kita terlupa atau sengaja lupakan Dia, Dia berikan sedikit cubaan, supaya kita ingat kembali padaNya. Supaya kita kembali merasa kasihNya.

Dia Maha Menyayangi hamba-hambaNya, walau pun jelas keingkaran hambaNya. Dia menawarkan kasihNya di mana sahaja kita perlukan. Dia menawarkan kasihNya bila saja kita dambakan. Dan Dia menawarkan kasihNya atas apa sebab sekali pun kita pohonkan.

Oleh itu, jangan sekali-kali berputus asa pada Allah.

Firman Allah swt bermaksud:
"Hai hamba-hamba- Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah az-Zumar ayat 53)

Ujian yang datang dariNya adalah untuk mengembalikan kita ke pangkuanNya.

Oleh sebab itulah orang-orang yang beriman akan bersedih bila Allah tidak mengujinya. Kerana tidak diuji Allah swt bagi orang-orang yang beriman seakan Allah tidak memandangnya lagi.

Oleh itu bersyukurlah apabila menerima ujian Allah swt. Itu tandanya Dia sayangkan kita dan ingin mendengar suara kita kembali merayu padaNya.

Oleh itu jangan bersedih. Sebaliknya tadahkan kedua tanganmu memohon dan berdoa kepada Allah swt. BERBUAL DAN MENGADULAH DENGAN ALLAH SWT

Jangan bersedih, Allah ada


"La tahzan Inallaha Ma'ana" Jangan bersedih Allah ada 

Ingatlah bahawa setiap ujian yang menimpa adalah untuk menuntut kita untuk menjadi yang lebih baik. Sentiasalah berdoa memohon pertolongan Allah dan bertawakal kepada Allah.

1. Jangan bersedih dan jangan putus asa kerana Allah sentiasa bersama dengan kita sebagaimana firmanNya yang maksudnya :

"Tatkala Rasulullah berkata kepada sahabatnya ( Abu Bakar ) Janganlah kamu bersedih kerana Allah besama kita, lalu Allah s.w.t memberikan ketenangan kepadanya."

2. Jangan bersedih dan jangan putus asa kerana Allah hampir dengan kita dan mendengar rintihan hambanya serta gembira dengan hamba yang kembali kepadanya;

Firman Allah yang maksudnya ;
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang aku, Maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

3. Jangan bersedih dan jangan putus asa kerana Allah sayang kepada hamba-hambaNya yang kembali kepadaNya;

Firman Allah s.w.t. yang maksudnya :
"Sesungguhnya Allah sayang kepada orang-orang yang bertaubat dan menyucikan dirinya"

Wallahu a’lam.



Jangan bersedih, angkat kedua tanganmu dan berdoa kepadaNya




JANGAN BERPUTUS ASA

Allah s.w.t berfirman yang maksudnya; "Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguh nya Kami menciptakan kamu secara main-main dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” al-Mukminun:115.

Dan dalam ayat yang lain Allah s.w.t menerangkan yan maksudnya;
"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta"

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud;
"Sesungguhnya manusia yang paling berat menerima ujian ialah para Nabi"

Maka janganlah kita bersedih. Bersabarlah jika diberi ujian dengan penyakit mahupun kegagalan. Jangan lah kita berputus asa atau kecewa. Pasti ada rahmat di sebaliknya.

Allah s.w.t yang Maha Pencipta. Kembali sujud dan memohon kepadaNya. Kunci ada padaNya.

Allah swt berfirman yang maksudnya :
"Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya, Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”.Yusuf:87.

“Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk (mencari keredhaan) Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”
[QS Al-Ankabut, 29:69]

Jangan bersedih, jangan putus asa dengan Rahmat Allah


“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.”
[QS al-‘Ankabut, 29:2-3]

“Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.’
[QS Ali ‘Imran, 3:142]

Ujian itu datangnya dari Allah, diberikan kepada kita agar kita kembali kepada merayu dan mengadu kepadaNya. Ujian itu untuk Allah menguji sejauh mana kesabaran kita dan sedalam mana keyakinan kita kepadaNya.

“Ataukah kamu mengira kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata, “Bilakah datang pertolongan Allah?”. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”
[QS al-Baqarah, 2:214]

Yakinlah dengan Allah. Bahawa dia akan membantu kita. Allah SWT Maha Pengasih akan bertindak seiring dengan doa kita kepadaNya.

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”
[QS Ali ‘Imran, 3:139]



JANGAN BERSEDIH, KESULITAN-KESULITAN ITU PENGHAPUS DOSA



Jangan Bersedih, ujian Allah itu adalah untuk menghapuskan dosa kita

Ujian-ujian dari Allah Yang Maha Pengasih adalah untuk menghapuskan dosa kita dan untuk membersihkan kita dari rasa ujub, riak dan sombong.

Kesulitan-kesulitan itu bermakna Allah Yang Maha Pengampun mahu kita bangun dari kelalaian dan kelakaan kita kepada dunia yang fana ini dan kembali bertaubat, berdoa dan berdzikir, sebagai bekalan dan persiapan kita untuk menyambut jemputan menghadapNya yang semakin dekat menghampiri kita.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Yang Maha Esa memberi kita kesulitan-kesulitan itu sebagai peringatan kepada kita agar tidak terus terlena dengan kemanisan dunia yang hanya sementara. Allah yang Maha Agung masih ingin menyedarkan kita agar tidak terus menerus terlupa mensyukuri nikmatNya yang tiada tara dari hujung rambut ke hujung kaki kita, nikmatNya yang kita nikmati dari pagi hingga ke malam, setiap saat sepanjang hidup kita, hingga ke akhir hayat kita.

Jika kamu menghitung nikmat ALLAH, nescaya kamu tidak akan sanggup menghitungnya.
(QS. Ibrahim: 34)

Dan, Dia menyempurnakan nikmat-NYA kepadamu lahir dan bathin.
(QS. Luqman: 20)

Dan, pada dirimu sendiri. Maka, apakah kamu tidak memperhatikan.
(QS. Adz-Dzariyat: 21)

Mereka mengetahui nikmat ALLAH, kemudian mereka mengingkarinya.
(QS. An-Nahl: 83)


7 TIPS UNTUK KEKAL POSITIF


7 Tips Untuk Kekal Positif

1. Bergaul dengan mereka yang positif
Ketika bersama mereka kita secara tidak langsung pun terdedah dengan aura mereka ini. Orang positif suka bercerita tentang hal-hal yang positif yang amat membantu kita. Orang positif sering memberi galakan berbanding dengan orang negatif yang lebih suka ‘melemahkan’ dan menyampaikan perkara-perkara yang negatif kepada anda.

2. Kurangkan membaca surat khabar dan berita
Tujuan tips ini ialah untuk mengelakkan diri kita daripada mendengar perkara-perkara yang negatif kerana dalam berita dan surat khabar sering kali menggunakan cerita negatif sebagai daya penarik.

3. Bangun awal
Ini sebenarnya sunnah yang amat baik sekali. Suasana pagi yang tenang, segar dan sunyi membolehkan kita memberi lebih fokus dan merancang dengan lebih baik. Pernahkah anda bangun lewat? Dapatkah anda rasa ‘lemah’ kalau kita bangun lewat. Malah mood kita pun ‘lari’ kalau kita bangun lewat. Oleh sebab itu untuk kekal positif sebaik-baiknya kita bangun awal.

4. Yakinkan diri depan cermin
Boleh dilakukan setiap kali selepas mandi. Yakinkan diri depan cermin bermaksud kita beritahu diri kita sendiri, “anda boleh”, “anda orang yang hebat”, “saya boleh berjaya”, dan macam-macam lagi ayat yang positif. Tapi pastikan anda beritahu pasangan anda dulu kerana takut dia salah faham nanti. Meyakinkan diri depan cermin begini begitu baik untuk menaikkan mood kita pada awal hari supaya boleh kekal sepanjang hari.

5. Bersenam
Ya! Bersenam bukan sekadar membolehkan kita mengekalkan kesihatan tetapi juga boleh menjadikan kita lebih positif. Ini kerana semasa bersenam secara tidak langsung kita melepaskan tekanan dan memperolehi tenaga baru.

6. Senyum selalu
Tapi jangan senyum sorang-sorang. Senyuman boleh memberikan rasa seronok dan selesa serta perasaan gembira. Kalau tidak keterlaluan anda boleh cuba, sewaktu anda berasa sedih atau marah, cuba anda senyum, sedih dan marah anda akan reda segera. Kalau nak cuba lagi cepat. Senyum sekarang! Apa anda rasa?

7. Akuilah bahawa tidak ada sesiapa pun sempurna
Jadi apa kurangnya diri kita. Hebat bagaimana pun seseorang yang kita lihat sebenarnya dia pun masih ada kelemahannya. Mungkin dia beritahu anda atau pun tidak. Maksudnya kalau anda ada kelemahan diri, itu adalah perkara biasa. Cuma kalau kita sudah mengetahui kelemahan tersebut cubalah baiki dari semasa ke semasa.

Itu dia 7 tips yang anda boleh amalkan untuk kekal positif. Selamat mencuba

Sumber : Dr Mohd Hafiz Osman