Sunday 15 July 2012

LEBIH 100 ORANG RENTUNG



PELABUHAN HARCOURT, Nigeria – Apabila sebuah lori tangki minyak terbalik, beratus-ratus orang penduduk tempatan berduyun-duyun ke lokasi tersebut untuk mencedok minyak petrol yang tumpah tanpa mengindahkan amaran daripada pasukan tentera bahawa kebakaran boleh berlaku bila-bila masa.

Akibatnya, lebih 100 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, rentung apabila kenderaan itu tiba-tiba meletup dan terbakar. Kebanyakan mangsa yang rentung adalah 'Okada'  (pemandu teksi motor). Berpuluh-puluh yang lain mengalami kecederaan serius. 

“Lori tangki itu terbalik kerana cuba mengelak tiga buah kenderaan dari arah bertentangan,” jelas Ketua Suruhanjaya Keselamatan Jalan Raya Persekutuan, Kayode Olagunju.

Beberapa buah jengkaut digunakan untuk menggali kubur besar kerana kebanyakan mayat rosak teruk dan sukar untuk diangkat ke tempat lain. Menilai kepada tahap kecederaan mangsa yang dirawat di hospital, jumlah kematian mungkin akan terus meningkat.

Kebocoran dan kemalangan lori tangki sering berlaku di negara Afrika. Pada Oktober 1998, lebih 1,000 orang maut di Jesse, negeri Delta apabila sebuah paip saluran minyak meletup ketika orang ramai sibuk hendak mencuri minyak – AFP

No comments:

Post a Comment