Wednesday 30 November 2011

Jangan bersedih, jadikan sabar dan solat sebagai penolong


Jadikanlah Sabar dan Solat Penolongmu

Terdapat tidak kurang 94 perkataan `sabar' di dalam al-Quran.

Allah s.w.t berfirman maksudnya :
``Hai orang-orang yang beriman, jadikan sabar dan solat sebagai penolongmu, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.'' (Surah al-Baqarah ayat 153)

``Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikan berita gembira kepada orang yang sabar.''  (Surah al-Baqarah ayat 155)

Allah s.w.t menyeru supaya kita menjadikan sabar dan solat itu sebagai penolong. Para ahli tafsir menyatakan bahawa suruhan ini adalah wajib kerana berbentuk suruhan kepada orang-orang Mukmin. Jika orang Mukmin meninggalkan sifat sabar dan meninggalkan solat maka ianya berdosa.

Allah berfirman dalam yang bermaksud : "Orang-orang yang berdo'a dengan berkata: 'Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu, ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab Neraka"; (Dan juga) orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah), dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiasa taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah), dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur"
(Surah Ali-Imran ayat 16 -17)

Firman Allah s.w.t yang bermaksud : "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya"
(Surah al-Baqarah ayat 45-46)

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dijelaskan bahwa, “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila menghadapi suatu persoalan, baginda segera mengerjakan solat“.

Huzaifah bin Yaman menuturkan, “Pada malam berlangsungnya perang Ahzab, saya menemui Rasulullah s.a.w, sementara baginda sedang solat seraya menutup tubuhnya dengan jubah. Bila baginda menghadapi persoalan, maka baginda akan mengerjakan solat".

Bahkan Ali bin Abi Thalib k.w. menuturkan keadaan Rasulullah s.a.w pada perang Badar, “Pada malam berlangsungnya perang Badar, semua kami tertidur kecuali Rasulullah, baginda solat dan berdo’a sampai pagi“.

Salah satu solat sunat mu'akkad yang amat dituntut selepas solat fardhu adalah solat tahajjud. Ketika waktu bertahajjud inilah kita berdo'a dan bermunajat kepada Allah s.w.t meminta apa saja pertolongan daripada-Nya.

Firman Allah s.w.t maksudnya :
“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “solat Tahajjud” padanya, sebagai solat tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji”.
(Surah al-Israa’ ayat 79)

Dari Bilal r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Hendaklah kamu qiamul lail (solat malam), kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang-orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan-kejahatan dan mengusir penyakit dari badan.” ( Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi.)



No comments:

Post a Comment