Sabar Hadapi Ujian di Janjikan Syurga
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah akan menguji dan mencuba salah seorang di antara kamu dengan cubaan sebagaimana salah seorang kamu menguji kadar emasnya dengan api. Maka sebahagian mereka akan keluar dari ujian itu bagaikan emas kuning berkilat; maka itulah orang yang dipelihara Allah daripada bermacam syubhat. Dan sebahagian mereka akan keluar bagaikan emas hitam, dan itulah orang yang tergoda fitnah.” (Hadis riwayat Thobrani)
Allah berfirman yang bermaksud:
“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?” (Surah al-Ankabut, ayat 2)
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan aku jadikan bagi kamu sekalian keburukan dan kebaikan sebagai fitnah (ujian) dan kepada Aku-lah kamu akan dikembalikan.” (Surah al-Anbia’, ayat 35)
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan ketahuilah bahawasanya harta dan anak itu sebagai ujian bahawa sesungguhnya Allah pada sisi-Nya itu adalah ganjaran yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 28)
Jalan terbaik bagi menghadapi ujian Allah adalah dengan banyak-banyak bersabar seperti mana dianjurkan oleh Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sangat mengagumkan kepada seorang mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang mukmin: jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan bila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Hadis riwayat Muslim)
Bertawakallah kepada Allah.
Firman Allah yang bermaksud:
“Dan sepenuhnya urusanku ini, kuserah pasrahkan bulat-bulat kepada Allah, sebab Ia Maha memperhatikan semua urusan hamba-Nya.” (Surah al-Mukmin, ayat 44)
Yakinlah bahawa segala ujian dari Allah menunjukkan bahawa Allah masih ingat dan sayang kepada kita. Allah mencuba dan menguji kita supaya ingat selalu kepada-Nya. Orang yang kuat imannya sangat suka bila diuji dengan cubaan Allah kerana itu satu cara Allah menghapuskan dosa jika dihadapi dengan penuh kesabaran dan keimanan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiada seorang Muslim yang menderita kelelahan atau penyakit, atau kesusahan hati, bahkan gangguan yang berupa duri melainkan semua kejadian itu akan berupa penebus dosanya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Beginilah Allah memilih hamba-Nya untuk menghuni syurga-Nya di akhirat nanti, dengan memberi ujian sama ada kecil atau besar. Hanya orang yang kuat imannya saja yang layak mendapat kesejahteraan yang abadi.
Firman Allah yang bermaksud:
“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan dapat masuk ke dalam syurga, padahal belum kamu mengalami duka derita yang pernah dialami dan menimpa orang terdahulu sebelum kamu.” (Surah al-Baqarah, ayat 214)
No comments:
Post a Comment