Tuesday 24 April 2012

myMetro | Jasad terseksa di hujung usia

myMetro | Jasad terseksa di hujung usia


Santau adalah istilah penyakit yang terkenal dalam masyarakat Melayu, khususnya di Nusantara. 

Penyakit yang tergolong dalam nama santau itu wujud.

Penyakit itu biasanya dikenali berdasarkan tanda-tanda zahir yang dialami oleh pesakit. Contohnya batuk berpanjangan, berbulan-bulan, kadang-kadang mengambil masa bertahun, dengan menggunakan pelbagai ubat, tetapi batuk tidak hilang.

Ada juga yang batuk mengeluarkan darah, hilang selera makan, badan kurus kering, kulit berkedut-kedut, kuku kebiru-biruan, disekeliling mata juga kebiru-biruan, tidak bermaya, sejuk kaki tangan khususnya pada petang hari, murung, tidak ceria dan sebagainya.

Penyakit sedemikian tidak semestinya santau. Ia boleh berlaku sedemikian dengan sebab fizikal yang lain, mungkin kerana dia bermasalah penyakit paru-paru rosak atau tonsil kronik atau sakit TB, keracunan dan sebagainya.

Pesakit jenis ini biasanya akan terubat dengan doktor pakar. Mungkin kerana sudah diubati tetapi tidak sembuh, maka mereka beralih kepada rawatan alternatif.

Salah satu yang sering dirujuk ialah bomoh santau atau perawat-perawat lain. Kebanyakan pengubat akan memberitahu pesakit itu bahawa dia terkena penyakit santau.

Ertinya ada orang bagi dia makan sesuatu, atau dia memakan ramuan yang di dalamnya ada santau.

Apa dia santau? Saya sendiri tidak tahu apa dia sebenarnya. Cuma hasil daripada percakapan banyak orang, kononnya santau diperbuat dari bahan yang amat-amat bisa.

Dikatakan ia diperbuat daripada bulu ulat bulu yang mati merana (meragan), dicampur dengan bisa ular, lipan atau kala jengking dan dicampur dengan kaca halus daripada bal lampu kalimatang yang ditumbuk halus.

Selepas itu ia dikatakan melalui proses adunan tersendiri dan dikeringkan, dijadikan serbuk untuk diletakkan dalam makanan atau minuman. Ini adalah cerita lisan, tiada orang yang boleh mengesahkan ia adalah santau yang sebenarnya.

Kalaupun ada yang membuat santau, tentulah dia merahsiakannya dan tidak mungkin dia mendedahkan rahsianya kepada orang.

Adakah orang yang sanggup membuatnya untuk menganiayai orang lain? Semata-mata dengan sedikit bayaran dunia, tidak kah mereka takut kepada dosa dan sebagainya?

Zaman ini manusia menjadi makhluk yang serba boleh, serba jadi. Misalnya mereka sanggup mendera isteri, mendera orang gaji, membunuh diri, keluarga dan rakan, serta melakukan pelbagai kemusnahan.

Manusia menjadi haiwan, malah lebih teruk daripada haiwan. Apakah itu (menggunakan santau) tidak dikatakan sebagai manusia kerana wang atau kerana hendak memuaskan hati?

Oleh santau adalah salah satu daripada kekejaman manusia. Yang penting tanda-tanda penyakit tadi jelas, orang itu sakit, setiap sakit ada ubatnya.

Berubatlah dengan cara yang betul, apabila Allah bukakan ruang kesembuhan, insya-Allah kena ubatnya, penyakit akan sembuh.

Sering kita dengar ada orang yang boleh membeli santau daripada orang tertentu dan sebagainya, itu adalah kata orang, anda jangan mudah mempercayainya.

Oleh yang demikian, berdoalah kepada Allah agar kita selamat dari kedengkian manusia. 

Wallahu a'lam. 

(Petikan dari Akhbar Harakah Bil1340, Ruangan Bersama Ustaz Dr. Haron Din)



Penjelasan secara saintifik dari Wikipedia Bahasa Melayu : -

Santau atau juga dikenali sebagai tuju-tuju, merujuk kepada sejenis ilmu hitam yang digunakan untuk meracun musuh

Secara umum, santau dilakukan dengan 2 cara iaitu :

(i)  cara fizikal 
(ii) cara santau angin.

Santau secara fizikal biasanya meracun seseorang melalui makanan atau minuman. Makanan seseorang itu ditaruh miang buluh, kaca, serbuk Ipoh, bisa besi, dan lain-lain. Bahan-bahan tersebut akan memasuki perut seseorang dan akan melukakan bahagian dalam perut. Musuh yang termakan racun santau ini akan muntah darah, pitam, pengsan dan meninggal dunia. 

Terdapat juga jenis santau yang hanya perlu diletakkan pada baju atau kasut mangsa. Bagi santau jenis ini, serbuk kaca atau buluh akan menyebabkan rasa miang yang menyebabkan mangsa menggaru. Perbuatan ini akan melukakan kulit mangsa dan membolehkan bahan racun ramuan santau memasuki saluran darah, dengan itu meracun mangsa.

Santau angin lebih mistik iaitu dengan bacaan jampi tertentu dan dihembuskan ke arah musuh.

Menurut kepercayaan juga, pengamal ilmu santau sukar atau tidak dapat zuriat disebabkan bisa santau yang diamalkan oleh mereka mampu membunuh zuriat yang dikandung oleh isteri mereka.

Santau juga pernah disebut dalam Hikayat Abdullah.


Matlamat

Santau secara umumnya digunakan bagi meracun dan membunuh atau melumpuhkan musuh.

Kelebihan

Santau sukar dikesan siapa yang melakukannya kerana ia tidak dilakukan secara berhadapan, tetapi melalui bersembunyi. 

Penggunaan bahan-bahan organik dan kaca dalam penyedian santau juga menyukarkan ia dikesan secara perubatan kerana buluh dan serbuk kaca sukar dikesan samaada melalui X-ray maupun ultrasound. 

Ini juga punca mengapa pada persidangan Antarabangsa di The Hague di Netherland pada 1899 dan 1907 mengumumkan prinsip St. Petersburg yang melarang penggunaan bahan yang menyebabkan “unnecessary suffering” atau “superfluous injury.” Antara lain ia melarang penggunaan bahan letupan dengan kaca jernih kerana kesukaran pakar bedah mengesannya.

Santau angin biasanya dihembus agar dibawa angin kearah mangsa dan dihidu masuk kedalam paru-paru mangsa. Oleh itu, sesiapa yang berada berhampiran dengan mangsa boleh turut terhidu habuk berbisa itu.

Oleh kerana santau disediakan dalam bentuk serbuk, kemungkinan besar pengamal santau akan terdedah secara jangka panjang dan akan turut diracuni oleh santau yang disediakan oleh mereka, atau orang-orang yang rapat dengan mereka. 

Santau biasanya mengambil masa yang agak lama untuk bertindak, antara beberapa hari sehingga beberapa tahun.

Penelitian secara ilmiah

Santau secara umumnya hanyalah satu bentuk racun yang digunakan bagi membunuh musuh. Racun moden adalah lebih berkesan dan mampu membunuh dengan lebih pantas.

Santau angin secara umumnya merupakan serbuk santau (yang mengandungi bahan tajam dan halus) yang dihembuskan kepada mangsa agar memasuki paru-paru mangsa tanpa disedari dan mengakibatkan kerosakan paru-paru. 

Secara saintifiknya kematian berlaku kerana mangsa menghidu dan menyedut bahan santau ke dalam paru-paru yang lembab dan dengan itu mampu mengakibatkan kerosakan paru-paru disebabkan bahan tajam bercampur racun yang digunakan. Ini mengakibatkan keadaan seperti Mesothelioma atau Penyakit Asbestosis.

Kemungkinan jampi yang digunakan merupakan satu cara menjelaskan bagaimana santau bertindak. Ini disebabkan pengamal santau silam tidak dapat menjelaskan bagaimana bahan santau mampu membunuh mangsa, dengan itu menggunakan jampi dan mentera sebagai cara penjelasan bagaimana santau mampu membunuh[perlu rujukan.

Di antara dua ikon dalam ilmu santau di Malaysia ialah, Dr Harun Din dan Dr Amran Kasimin








No comments:

Post a Comment