Wednesday 20 June 2012

GOLONGAN YANG TIDAK DIENDAHKAN ALLAH S.W.T.



Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Rasulullah SAW bersabda:

” Ada tiga golongan di mana Allah tidak akan bercakap dengan mereka, tidak membersihkan mereka daripada dosa,”
- kata Muawiyah, “juga tidak akan memandang mereka (mengendahkan mereka), bahkan mereka akan mendapat siksa yang pedih iaitu: 1) Orang tua penzina; 2) Raja (penguasa) yang pembohong ; 3) si miskin yang sombong.”
(Muslim)


Sesungguhnya manusia benar-benar melampaui batas. Mereka tidak tahu mensyukuri nikmat pemberian Allah dan ada pula yang tidak sabar dengan ujian yang ditimpakan oleh Allah SWT. 

Nikmat kepanjangan usia contohnya, membuatkan manusia hidup bersenang-lenang melakukan berbagai maksiat tanpa berusaha menambahkan amal kebaikan selama tempoh hayatnya yang panjang kurniaan Allah S.W.T. itu. Bahkan tanpa segan silu dengan anak cucu apalagi dengan masyarakat sekelliling, 'si tua bangka' masih bergelumang dengan dosa perzinaan. 

Begitu juga dengan pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjalankan pemerintahan, menjadi lupa  bahawa jawatan yang sedang disandang itu adalah amanah dari Allah S.W.T. Malah  menjadi 'lupa daratan' dengan mensia-siakan kepercayaan itu dengan melakukan berbagai penipuan dan pembohongan yang mengecewakan harapan rakyat. Lupa mensyukuri nikmat pemberian Allah S.W.T. di dunia yang hanya sementara cuma ini.

Termasuklah di sini, orang-orang miskin yang sombong, yang juga dibenci oleh Allah S.W.T. Di mana kemiskinan itu telah membuatkan dia lupa dengan akhirat, lupa dengan Allah, lupa dengan tujuan hidupnya dan lupa untuk beramal dan selalu disibukkan oleh usahanya mencari makan dan minum untuk menyambung hayatnya. 

Bahkan kerana miskin juga ada yang berlagak sombong dan menyisihkan diri daripada orang ramai tanpa mahu bergaul. Kerana kemiskinan juga banyak orang miskin yang terjerumus dalam kekafiran, dan ia rela menjual agamanya kerana tuntutan hidupnya sementara ia dijanjikan hidup yang baik dalam agama lain. 

Tiga golongan ini tidak akan dipedulikan oleh Allah dan bakal menerima azab di hari akhirat kelak.

No comments:

Post a Comment