Menurut Islam, hukum menggunakan khidmat bomoh atau seumpamanya dalam perubatan tradisional terbahagi kepada dua iaitu harus dan haram.
Keharusan menggunakan khidmat bomoh dalam perubatan tradisional tidak bersifat mutlak. Ia dibatasi dengan syarat tertentu seperti;
· Perubatan bomoh itu menyebut nama Allah atau salah satu namanya.
· Menggunakan ayat Al-Quran dan doa yang diamalkan oleh nabi dan rasul.
· Menyakini bahawa perkara itu tidak dapat memberi kesan secara tersendiri, bahkan adalah dengan
ketentuan Allah SWT.
Perubatan bomoh menjadi haram jika;
Cara rawatannya itu bertentangan dengan syarak.
Misalnya, menggunakan khidmat jin, pemujaan, jampi, mentera dan sebagainya yang tidak mengikut cara rawatan yang diharuskan oleh Islam.
Orang yang berubat benar-benar beriktikad bahawa bomoh itulah menyembuhkan pesakitnya tanpa bergantung kepada Allah.
Kesan daripada amalan mempercayai bomoh ini sangat besar. Ia telah menyekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Jika ia terus diamalkan, akan mendatangkan imej buruk kepada Islam dari pandangan agama lain.
Akidah adalah penentu kaitan seseorang dengan Islam, manakala syariah pula sebagai pengukur keteguhan dan kekuatan akidah. Akidah Islam adalah akidah yang bebas daripada sebarang unsur syirik dan khurafat. Syirik adalah pencemaran terhadap akidah, sementara khurafat adalah pencemaran terhadap kewarasan berfikir.
Menggunakan khidmat bomoh yang mengubati dengan cara yang salah seperti menggunakan khidmat jin, jampi mantera dan pemujaan bukanlah jalan penyelesaian yang hakiki bagi semua penyakit dan masaalah yang dihadapi. Usaha untuk menyelesaikan sesuatu masaalah digalakkan oleh Islam. Tetapi, biar bertepatan dengan fitrah kemanusiaan dan selari dengan ajaran Al-Quran dan Sunnah.
Setiap bomoh hendaklah merasakan bahawa setiap sesuatu yang dilakukannya itu kerana takut kepada Allah. Pada masa yang sama, orang yang menerima rawatan daripada bomoh pula harus memastikan rawatannya tidak bercanggah dengan Islam.
JAMPI BOLEH GUNA AYAT AL-QURAN, BAHASA DIFAHAMI
Perbomohan tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah SWT dan sifat-Nya atau maksud disebalik kalimah atau nama Allah atau sifat-Nya. Contohnya, mengatakan ilmu bomoh itu diterima terus daripada Allah atau kudratnya adalah kudrat Allah atau melalui mimpi berjumpa wali, malaikat atau lainnya.
Pengamalan bomoh tidak boleh diertikan sebagai maksud yang tersirat daripada diri atau jasad dan roh Rasulullah SAW, malaikat, nabi dan orang soleh seperti Nur Muhammad menjelma ke dalam diri dan sebagainya.
Mengikut Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam yang di keluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia;
Tidak boleh memuja dan memperhambakan diri kepada sesuatu kuasa atau peribadi yang dipercayai boleh mendatangkan nasib baik atau buruk kepada seseorang. Contohnya seperti wali syeikh, rijalul ghaib, roh datuk nenek, sahabat, hantu, dewa, keramat, kubur, keris, busur, batu, kayu, cincin, kain kuning atau putih.
Tidak boleh menggunakan tangkal dan azimat yang mengandungi rajah atau tulisan yang tidak difahami seperti objek tertentu dan bercampur aduk dengan ayat Al-Quran. Jangan menganggapkan tangkal mempunyai kuasa.
Penggunaan Jampi Dibolehkan Dan Digunakan Dengan Syarat;
Menggunakan ayat Al-Quran.
Menggunakan bahasa yang difahami.
Jangan mengiktikadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh, sebaliknya Allah yang berkuasa.
Mengikut garis panduan itu, tidak boleh mengamalkan bacaan tertentu yang tidak difahami maknanya. Ia dikhuatiri mengandungi kata-kata pemujaan kepada berhala, iblis syaitan atau nama berhala orang kafir serta bercampur aduk dengan Al-Quran. Selain itu, tidak boleh membaca mana-mana ayat Al-Quran secara songsang seperti Qul Huwallah.
Dalam perbomohan Islam, tidak boleh menggunakan Al-Quran secara tidak wajar menurut syarat. Contohnya, menggantung Al-Quran dan tunggu berpusing atau tidak untuk dijadikan alasan tertentu. Jika berpusing begini, dan jika tidak, begini pula maksudnya. Semuanya ini ttermasuk menghina Al-Quran ( Istihza’ ).
Perkara lain yang dilarang adalah;
Meninggalkan ibadat wajib yang dituntut Islam seperti sembahyang lima waktu dan puasa Ramadhan ketika melakukan amalan perbomohan.
Tidak boleh menggunakan perbuatan ‘menurun’, memanggil roh orang mati atau sebagainya dalam kaedah perbomohan.
Perkara lain yang perlu diberi perhatian mengikut garis panduan itu adalah mengenai bayaran perkhidmatan atau pengeras. Sebarang pengeras tidak boleh digunakan dalam perbomohan jika ia dikaitkan dengan untung nasib, buruk atau baik.
Bayaran perkhidmatan hanya dibolehkan mengikut kesesuaian perubatan dengan tidak terlampau tinggi hingga boleh memberatkan atau menindas dan tidak membawa maksud tolong menolong.
Perbomohan mengikut Islam juga melarang upacara yang mengandungi penyembahan, pemujaan, memohon bantuan atau memperhambakan diri kepada kuasa atau tenaga ghaib seperti mempersembahkan sedulang makanan dan menyembelih ayam.
BERUBAT HANYA KERANA ALLAH SWT
Islam menitikberatkan soal akidah, syariah dan akhlak. Segala amalan dan kepercayaan yang tidak berdasarkan kepada sumber asal Al-Quran, hadis, ijmak dan qias adalah ditolak. Dalam urusan perubatan kepada pesakit, satu perkara perlu di ingat oleh semua pihak, bahawa hanya Allah berkuasa mutlak menentukan sesuatu dan menjadikannya, lebih-lebih lagi sakit and sembuh adalah haknya. Manusia hanya disuruh berusaha dan berikhtiar.
Islam juga tidak membenarkan umatnya menggunakan sihir kerana Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“ Jauhilah tujuh perkara yang merosakkan”.
Sahabat bertanya: “Apakah tujuh perkara itu?”.
Baginda menjawab:
“ Menyekutukan Allah, sihir, membunuh orang tanpa hak, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan perang dan menuduh perempuan baik melakukan maksiat terkutuk”. – Hadis riwayat Al-Bukhari, Kitab Sahih Al-Bukhari, Kitabul Hudud, Bab 44 mukasurat 33.
Bagaimana pun umat Islam tidak dilarang untuk menggunakan jampi.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud:
“ Berkat Abu Zubair, aku dengar Jabir Bin Abdullah berkata, seorang lelaki daripada kami telah disengat kala jengking. Ketika itu kami duduk bersama Rasulullah. Maka, berkata seorang lelaki wahai Rasulullah! Bolehkah aku jampi?. Baginda bersabda, “ Barang siapa yang mampu diantara kamu untuk memberi manfaat kepada saudaranya maka hendaklah dilakukan.”- Hadis riwayat muslim- Bab Istihbab Al-Ruqyah min Al-Ain wa An Namlah wal Hummah wal An Naqrah, jilid 9, mukasurat 5905.
No comments:
Post a Comment