Monday 12 December 2011
Hutang Dalam Islam
Memberi hutang adalah amalan yang mulia jika tujuannya untuk meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup.Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada orang-orang yang berhutang.
Jika dilihat kepada konsep kemasyarakatan, memberi hutang sangat digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala.
Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang Mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara kesusahan-kesusahannya pada hari kiamat. Sesiapa yang memberikan kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis Riwayat Mustaim, Abu Dawud dan Tirmidzi).
Berbeza halnya dengan orang yang berhutang iaitu amalan yang tidak digalakkan oleh Islam kerana hutang itu merupakan "kesusahan di malam hari dan penghinaan di siang hari". Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikannya kepada waris-warisnya.
Menurut Rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam orang yang sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan segera adalah melakukan kezaliman sebagaimana sabda Rasullullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud :
"Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
"Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta (untuk membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan menghalalkan hukumannya."
Daripada maksud hadis di atas, Ibnu Hajar Al-Haitsami berpendapat bahawa orang-orang yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang sedangkan dia berkeupayaan untuk melunaskannya menyebabkan kehormatannya boleh dicemari dengan menceritakan hal tersebut kepada orang lain. Walau bagaimanapun hal yang boleh diceritakan itu hanyalah mengenai buruk perangainya kerana melengah-lengahkan hutang itu sahaja.
Adapun menceriatkan keburukannya yang lain adalah haram hukumnya. Orang yang dizalimi itu hanya dibenarkan menceritakan kezaliman dalam perkara menangguhkan hutang sahaja. Dalam perkara menghalalkan hukuman ke atasnya bererti dia boleh dihukum kerana perbuatan sengaja melengah-lengahkan hutang. Hukuman itu sama ada dipenjara, dirotan atau seumpamanya. (Az-Zawajir hln 414).
Menurut Ibnu Hajar lagi, sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan berkemampuan itu adalah melakukan dosa besar.
Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Roh seseorang Mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya sehinggalah hutangnya itu dilunaskan."
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radiallahuanhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya :
"Sesiapa mati, sedangkan dia msih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham."
(Hadis Riwayat Ibnu Majah).
Di antara risikonya lagi, suatu perisitiwa pernah terjadi di mana Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam enggan menyembahyangkan jenazah apabila baginda mengetahui orang yang meninggal itu masih mempunyai tanggungan hutang.
Tindakan baginda itu jelas menunukkan tentang ketidaksukaan baginda terhadap orang-orang yang berhutang. Tindakan sedemikian memberi pengajaran kepada orang lain tentang akibat berhutang.
Jika si pehutang benar-benar tidak berkeupayaan untuk membayar hutangnya dalam jangka atau tempoh yang dijanjikan atau dientukan, berterus-teranglah kepada pemiutang dan berundinglah bagaimana cara yang patut dan munasabah untuk membayar hutangnya.
Dari itu kikislah sifat dan tabiat suka berhutang kecuali dalam perkara-perkara yang benar-benar perlu dan mendesak. Bebaskanlah diri daripada hutang-hutang agar hidup dalam keadaan riang gembira dan selesa di dunia dan di akhirat kelak.
Untuk pemberi hutang pula jika orang yang berhutang dengannya tidak berkemampun untuk membayar nya maka berilah tempuh yang sewajarnya atau jika boleh halalkan saja itu lebih baik kerana ada hadis di riwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya :
"Sesiapa yang menangguhkan hutang orang yang belum dapat membayarnya atau membebaskannya, pada hari kiamat kelak Allah s.w.t. akan menaunginya di bawah naungan Arasy, di mana pada hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan-Nya."
(Hadis Riwayat Tirmizi).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment