Sunday 11 December 2011

DOA SEMASA SUJUD

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud  :

"Masa yang paling hampir antara seseorang hamba dengan Tuhannya ialah semasa ia sujud, maka hendaklah kamu memperbanyakkan doa di dalamnya."

Antara doa-doa yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W untuk dibaca sewaktu sujud akhir dalam solat :

"Ya Allah, tambahkanlah bagiku rezeki yang banyak lagi halal, iman yang benar, ilmu yang bermanfaat, kesihatan yang elok, kecerdikan yang tinggi, hati yang bersih dan kejayaan yang besar."

Rasulullah S.A.W biasa memanjangkan sujud dan memperbanyakkan doa di dalamnya sehingga pernah para sahabat hairan kerana lamanya baginda bersujud.

Nabi S.A.W pernah bersabda yang bermaksud :

"Tiadalah ada seorang umatku melainkan aku yang akan mengenalinya di hari kiamat"

Mendengar itu para sahabat bertanya: "Bagaimanakah engkau dapat mengenali mereka dalam khalayak ramai wahai Rasulullah?"

Jawab Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

"Tidakkah engkau melihat seandainya sekumpulan unta dimasuki oleh seekor kuda yang amat hitam, sedang di dalamnya pula terdapat sekor kuda putih bersih, maka adakah engkau tidak dapat mengenalinya?"

Sahabat Menjawab: "Bahkan !"

Rasulullah S.A.W menyambung yang bermaksud :

"Kerana sesungguhnya pada hari itu (kiamat) muka umatku akan putih (berser-seri) disebabkan mereka bersujud (di dunia), segala anggota mereka (terutama anggota wudu') putih berseri-seri oleh cahaya wudhu' "

Ahli Neraka Juga Mendapat Keselamatan Kerana Bekas Sujudnya.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:-

"Apabila Allah hendak melimpahkan Rahmat (kebaikan) kepada ahli-ahli neraka yang Dia kehendaki, Dia pun memerintahkan malaikat supaya mengeluarkan orang-orang yang menyembah Allah, lalu mereka dikeluarkan dan mereka dikenali dengan kesan-kesan sujud (di dahi mereka), di mana Allah swt mencegah neraka memakan (menghapuskan) bekas-bekas sujud itu, lalu mereka pun keluar dari neraka, maka setiap tubuh anak Adam akan dimakan api neraka selain bekas sujud"

Begitulah Allah memuliakan hamba-Nya yang bersujud. Orang yang sujud mendapat keistimewaannya apatah lagi di dalam sujud itu kita berdoa. Sudah tentu mendapat perhatian yang sewajarnya. Semoga kita akan menjadi hamba yang benar-benar mendapat rahmat.

Wassalam.

No comments:

Post a Comment