Thursday 1 December 2011
DOA ASIAH
Tulisan ini membawa kalimah bermakna.
Kalimah yang di abadikan di dalam al-Quran agar terus diingat sepanjang masa.
Kalimah yang keluar dari mulut seorang perempuan yang hatinya telah diliputi keimanan.
Perempuan itu berdiri sambil berseru tanpa menghiraukan kemilau dunia yang fana.
Dia berkata dengan bahasa sikap dan ucapannya, "Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga."
Sungguh, tidak ada lagi tempat bagi dunia dalam hatinya.
Maha Suci Allah, seluruh hati perempuan itu dipenuhi dengan cinta kepada Tuhannya!
Di atas jalan Tuhannya, perempuan itu tetap bertahan sekalipun sering ditimpa seksaan yang bertubi-tubi.
Di atas jalan kebenaran, perempuan itu tetap berpijak, langsung tidak beralih sekalipun sering dilontar cacian hina.
Kalian yang membaca,
Perempuan yang saya maksudkan ialah Asiah, isteri Firaun.
Seorang isteri yang tidak dicintai oleh suaminya.
Tetapi, sangat dikasihi oleh pemilik hatinya, Allah S.W.T.
Istimewanya Asiah, doanya diabadikan di dalam al-Quran:
"Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga." (at-Tahrim:11)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata:
"Antara keutamaan Asiah, isteri Firaun, adalah dia lebih memilih mati dan diseksa di dunia daripada memperoleh kesenangan yang telah didapatkannya sebagai isteri Firaun." (Fathul Bari, 6/516)
Ibn Kathir pula berkata:
"Dengan sanadnya, Ibn Jarir meriwayatkan dari Sulaiman at-Taimi, bahawa isteri Firaun sering diseksa di bawah terik sinar matahari. Dia diseksa oleh suaminya, namun apabila Firaun meninggalkannya setelah menempatkan Asiah di bawah terik sinar mentari, para Malaikat terus menaungi Asiah dengan sayap-sayap mereka, lalu Asiah dapat melihat rumahnya di dalam syurga." (Tafsir Ibn Kathir, 4/394)
Mulianya isteri Firaun, Allah S.W.T menyebutnya di dalam al-Quran:
"Dan Allah membuat isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata, "Ya Tuhanku, bangunkan untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya; serta selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim."
Alangkah bahagianya Asiah, doanya dimakbulkan Allah S.W.T.
Pahit maung seksaan yang menimpanya menjadi manis setiap kali melihat rumahnya di syurga.
Allahu Akbar!
Ya Allah, jadikan kami wanita yang langsung tidak silau dengan kemilau dunia, fatamorgana yang menipu manusia
sumber : iluvislam.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment