Saturday 3 December 2011
KEWAJIPAN BERSAMA (SUAMI & ISTERI)
Suami isteri adalah bertanggungjawab di dalam mengendalikan urusan rumahtangga, oleh itu mereka berdua mempunyai kewajipan bersama diantara kewajipannya ialah :
Hendaklah saling hormat-menghormati dan tolong-menolong.
Saling percaya dan mempercayai diantara satu sama lain.
Mengelakkan dari melahirkan rahsia masing-masing dan juga keaifan yang mungkin timbul dari mana-mana pihak walau di waktu berlaku salah faham dan perbalahan.
Jangan mudah terpengaruh dengan hasutan luar, halusi dan periksa dengan teliti terlebih dahulu.
Jauhi dari perkara-perkara yang boleh membawa kepada salah faham.
Rela berkorban untuk kebahagian rumah tangga.
Kedua belah pihak hendaklah bersabar di atas kelemahan dan kekurangan yang timbul samada dari pihak suami ataupun isteri.
Hendaklah berbincang & membuat perundingan di dalam sesuatu masalah.
Sama-sama bertanggungjawab memimpin dan mendidik anak.
Kedua belah pihak hendaklah sanggup menerima teguran dan nasihat dari pihak yang lain dan begitu juga hendaklah sama-sama memberi nasihat dan teguran demi kebaikan bersama.
Di dalam penentuan hak tanggungjawab bersama yang mesti disempurna kan oleh suami isteri adalah merupakan asas yang teguh yang dapat menjadi keharmonian rumahtangga, Rasulullah SAW bersabda pada "Hujjatul Wida'" yang bermaksud :
"Jaga ! Sesungguhnya kamu ada mempunyai hak ke atas isteri kamu dan demikian pula isteri-isteri kamu kamu terhadap kamu sendiri"
Selain dari itu Islam telah menentukan kelebihan lelaki di atas perempuan kerana beberapa faktor yang tertentu seperti maksud firman Allah SWT
"Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang bersama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya. Dalam pada itu orang-orang lelaki (suami) mempunyai satu darjah kelebihan atas orang-orang perempuan (isteri) yakni sebagaimana seorang isteri menanggung kewajipan terhadap suami yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik maka si suami juga menanggung kewajipan terhadap isteri yang wajib dilaksanakan dengan cara yang baik.
Dan firmanNya lagi : "
Orang-orang lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal kepada tanggungjawab di atas perempuan-perempuan (isteri) disebabkan Allah telah melebihkan orang-orang lelaki ke atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki itu memberi nafkah (kepada isterinya)"
PERGAULAN YANG BAIK
Perkara yang amat penting di dalam membina kebahagian rumahtangga ialah cara pergaulan yang baik, letakkan segala harapan di atas kerukunan rumahtangga. Rasulullah SAW telah memberi kita banyak panduan tentang pergaulan di dalam kehidupan berumahtangga. Baginda tidak pernah bermasam muka dengan isteri-isteri baginda. Baginda sendiri yang menjahit kasut baginda manakala terkoyak. Di dalam soal kebaikan ini Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Sebaik-baik kamu ! sebaik kamu bagi ahlinya dan aku sebaik-baik bagi ahliku"
Di dalam pergaulan harian di antara suami isteri mungkin ada ketika tergeser sekali sekala. Maka soal mengatasinya hendaklah berpandukan kepada hukum Islam.
Di dalam hubungan ini Allah SWT. berfirman :
" Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (Nushuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukan mereka dari tempat tidur dan (kalau juga mereka masih berdegil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajar) kemudian jika mereka taat kepada kamu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka, sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar."
Para isteri wajib menjaga maruah dirinya samada di hadapan suami atau semasa ketiadaannya dan juga menjaga maruah dan kemuliaan suaminya. Bergaullah dengan suami dengan penuh kasih sayang, turutilah segala perintah dan kehendaknya selama mana perintahnya tidak bercanggah dengan hukum syarak.
Di dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda :
"Sekiranya aku diperintah akan seseorang supaya menyembah seseorang yang lain nescaya aku menyuruh perempuan menyembah akan suaminya."
Isteri adalah ratu rumahtangga bagi suami, dialah tempat untuk melepaskan kerisauan oleh itu jagalah keperibadian sebagai seorang isteri yang solehah. Rasulullah SAW bersabda :
"Sebaik-baik wanita ialah isteri yang apabila engkau melihat kepadanya membuat engkau gembira dan apabila engkau menyuruhnya sesuatu ia menuruti engkau dan apabila engkau tiada di sampingnya dia menjaga harta engkau dan mengjaga maruah dirinya"
oleh : Haji Othman Haji Ahmad
Pegawai Dakwah JHEUIK (Jabatan Hal Ehwal Ugama Islam Kelantan)
Sumber : epondok
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment