Saturday, 3 December 2011

MENCARI RAHMAH DALAM PERKAHWINAN



Sumber : Majalah Nur

Bukan mudah mencari keserasian di antara pasangan pengantin baru. Harus diingat setiap manusia mempunyai sikap tersendiri. Jangan juga terkejut andai perangai pasangan berubah daripada zaman bercinta, bertunang dan seterusnya menjadi suami isteri. Proses mengenali itu akan terusan berlaku hinggalah ke akhir hayat.

Al-Quran menjelaskan bahawa tujuan pernikahan adalah untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan, sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda kebesaran Allah itu bahawa Dia jadikan bagi kamu pasangan hidup agar kamu mendapatkan ketenangan/ kebahagiaan bersamanya. Kemudian Allah ciptakan di antara kamu berdua mawaddah dan rahmah.” (Surah al-Rum, ayat 21)

Allah menciptakan pasangan untuk manusia agar mereka dapat hidup seiring sejalan, berbahagi suka dan duka serta tetap bersama dalam melayari kehidupan yang penuh dengan onak, duri, dugaan, tentangan dan cabaran demi mencapai satu matlamat mendapatkan keluarga sakinah mardatillah. Selain ketenangan di dalam pernikahan, Allah juga menciptakan mawaddah dan rahmah di hati suami dan isteri. NUR istimewa Edisi Pengantin mengupas isu ini dengan menampilkan tip dan panduan kehidupan alam rumah tangga yang boleh dikongsi bersama pasangan-pasangan baru. Yang lama juga tidak terkecuali agar rumah tangga yang dibina sekian lama sentiasa terasa segar dan menghangatkan kembali hubungan yang kian pudar.

Rahsia dalam perkahwinan
1. Allah akan menurunkan rahmah di dalam satu keluarga apabila keluarga berkenaan dibina atas niat mencari keredhaan Allah.

2. Perhubungan intim bukan sekadar memenuhi hawa nafsu sematamata tetapi ia satu ibadah bertujuan melahirkan generasi atau zuriat yang soleh.

3. Setiap pasangan harus benar-benar faham konsep pernikahan kerana inilah yang membezakan antara manusia dan haiwan. Kesedaran ini penting bagi mencipta keluarga sakinah.

4. Suami sebagai pemimpin rumahtangga perlu sentiasa kreatif dalam mendidik isteri. Ingat, Allah anugerahkan kepada kaum lelaki kekuatan akal yang rasional, tidak terlalu emosional atau mudah didorong oleh perasaan.

5. Bijak dan sabar harus seiring. Terlalu sabar dan mengikut kehendak isteri boleh menyebabkan isteri ‘besar kepala’ dan bijak tanpa sabar pula boleh menyebabkan suami tewas dengan nafsunya sendiri sehingga ada yang bertindak ganas dan boleh membahayakan isteri.

6. Suami juga harus bijak mententeramkan perasaan isteri. Seeloknya didiamkan saja dahulu sampai kemarahannya reda kemudian baru diterangkan.

7. Mengapa perlu diamkan saja orang yang sedang mengamuk? Kerana tatkala sedang marah syaitan sengaja meluap-luapkan perasaan marahnya.

8. Sebagai isteri juga harus bertindak sebagai penghibur, penyayang, pendorong dan pembantu kepada perjuangan suami jika seorang pejuang atau pendakwah.

9. Sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud:”Barangsiapa memiliki isteri yang solehah maka sesungguhnya ia telah memiliki separuh dari agamanya”. Rasulullah juga bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah hiasan dan hiasan yang terbaik ialah memiliki isteri yang solehah”.

10. Memuji. Setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan.

11. Pasangan hendaklah selalu memeluk di antara satu sama lain sekerap mungkin setiap hari kerana pelukan adalah belaian penuh kasih sayang.

12. Penghargaan. Jadikan ia amalan kerana ia boleh menambah kasih sayang.

13. Berilah perhatian. Kurang perhatian akan membuatkan pasangan terasa diabaikan.

14. Persefahaman penting dalam sebuah rumah tangga agar setiap apa yang dilakukan dipersetujui tanpa pertelingkahan.

15. Pergaulan juga perlu diberi perhatian. Pasangan haruslah menjaga pergaulan dengan orang lain dengan baik dan tidak melampaui batas bagi mengelakkan perasaan cemburu dan seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga.

16. Selain itu, pasangan perlu juga mencari waktu luang untuk bercuti bersama dalam usaha merapatkan lagi hubungan.

17. Sentiasalah memohon kepada Allah SWT supaya merapatkan kasih sayang di antara suami isteri dan jauhkan daripada godaan kemewaahan dan keseronokan dunia.

18. Kunci kebahagiaan rumah tangga yang sebenar adalah mendekatkan diri kepada Allah. Ini kerana jika kita mengabaikan tanggungjawab terhadap agama, kita akan mengabaikan rumah tangga kerana jiwa kosong.

19. Hubungan intim yang ikhlas, usahlah sekadar melepaskan batuk di tangga.

20. Jika isteri atau suami menolak ajakan bersama, ambil tahu apa yang mengganggu fikiran dan emosinya.Selesaikannya bersamasama.

21. Buang perasaan takut mengenai seks yang menyakitkan kerana ia memberikan impak fobia.

22. Jangan sesekali bawa masalah di pejabat ke rumah kerana ia akan menggangu mood anda ketika bersama suami.

No comments:

Post a Comment